Wednesday, February 16, 2011

Demokrasi kampus..


Salam sejahtera kepada seluruh mahasiswa Fakulti Pengajian Islam dan seluruh warga UKM. Sepertimana yang kita maklum, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan mengadakan pemilihan bagi ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2010/2011. Aktiviti tahunan ini akan berlangsung pada 21 Januari 2011 ekoran notis pembubaran Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM).

Berikut adalah perincian jadual sepanjang berlangsungnya proses pemilihan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pada kali ini:
  • 14 Feb 2011: pembubaran PMUKM dan borang calon MPP dikeluarkan di JPPel.
  • 17 Feb 2011: penamaan calon di fakulti bagi calon fakulti dan Pusanika bagi calon umum.
  • 17 Feb 2011 - 20 Feb 2011 : tempoh berkempen bagi semua calon
  • 21 Feb 2011: hari pengundian di kolej kediaman

Tuesday, February 15, 2011

Gabungan Mahasiswa yakin menang tipis di UKM

Sumber : MalaysiaKini


Kumpulan Pro-Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yakin bahawa mereka akan memenangi 21 daripada 37 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya kampus pada 21 Februari ini.

Menurut ahli majlis Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia GMUKM Mohd Hilman Idham, ini kerana sokongan dan kedudukan semasa di kampus berkenaan kini memihak kepada kumpulan tersebut.

NONE"GMUKM menyatakan keyakinan penuh untuk memenangi piloihan raya kampus pada tahun ini dan membentuk PMUKM (Pewakilan Mahasiswa UKM) dengan majoiti mudah," katanya.

Dalam sidang media di Bangsar pagi ini, Mohd Hilman berkata mereka menjangkakan bakal mendapat kejayaan di tujuh kerusi umum, 11 kerusi fakulti dan 3 kerusi siswazah.

Di peringkat fakulti, Mohd Hilman yakin mempertahankan kubu kuat mereka Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina - masing-masing 2 kerusi.

Malah, beliau juga yakin Pro-Mahasiswa akan mengekalkan kemenangan di Fakulti Pendidikan, Fakulti Undang-undang, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina dan Fakulti Farmasi.

"(Bagi) kerusi siswazah pun, mereka (kini) bersama-sama dengan pro-M," katanya sambil menambah ia merupakan peraturan baru yang pertama kali diperkenalkan pada tahun ini.

Peraturan baru
Kerusi siswazah antara pembaharuan di samping beberapa beberapa peraturan baru diperkenalkan oleh universiti dalam pilihan raya kampus UKM kali ini.

NONEDalam pilihan raya tahun lalu, kumpulan yang sering dilabel kritikal pada pentadbiran kampus itu mendapat 15 daripada 35 kerusi yang berbanding pro-Aspirasi yang memenangi 19 kerusi. Calon bebas mendapat 1 kerusi.

Selain itu, mengulas peraturan baru yang diperkenalkan, antaranya penambahan kerusi umum dan pengurangan kerusi di kubu kuatnya di Fakulti Pendidikan, disifatkan sebagai "agenda" untuk mengurangkan kemenangan mereka.

"Penambahan kerusi umum (untuk tahun satu dan dua), saya melihat satu cara untuk mengabui mata kerana (kerusi umum itu) memang kuat pro-Aspirasi," katanya.

Mohd Hilman juga mempertikaikan tindakan UKM yang seperti biasa didakwa enggan menunjukkan daftar pemilih kepada pelajar.

Selain itu, tambahnya, kumpulan itu juga kecewa dengan pengurangan tempoh mengundi selama sejam di universiti itu.

Monday, January 17, 2011

Garis Panduan Perlaksanaan Subjek HC


GABUNGAN MAHASISWA UKM (GMUKM) mengucapkan tahniah dan menyambut baik usaha transformasi pihak pentadbiran Pusat Perkembangan Pelajar (PPP) UKM di bawah pentadbiran baru pada sesi kali ini yang bersedia mengemukakan 'Garis Panduan Perlaksanaan Kokurikulum Berkredit Berasaskan Kontrak Pembelajaran'.

Garis panduan yang dikeluarkan pertengahan minggu lalu itu dengan jelas menggariskan 8 domain
hasil pembelajaran yang antara lain menyentuh ;
> Kemahiran dan kebertanggungjawaban sosial
> Kemahiran Komunikasi

> Kemahiran Pengurusan Maklumat & Pembelajaran Sepanjang Hayat
> Nilai, Sikap, Etika & Profesionalisme
> Pemikiran Kritikal, Penyelesaian Masalah & Pendekatan Saintifik
> Kepimpinan & Kerja Berpasukan
> Kemahiran Pengurusan dan Keusahawanan
> Kemahiran Kreatif & Inovatif

Menurut garis panduan tersebut, segala perancangan dan persetujuan oleh pelajar adalah melalui kontrak pembelajaran yang berasaskan saling mempercayai (honour).

Fakulti, pusat, institut, kolej dan unit bertindak sebagai pusat pembelajaran dengan menyediakan penyelia yang komited dan berpengalaman. Pusat-pusat ini perlu mengenalpasti kegiatan yang boleh diusahakan oleh pelajar dan menyediakan penyelia.

Menurut garis panduan ini juga, para pelajar boleh menentukan jenis-jenis aktiviti/projek berdasarkan pembelajaran melalui pengalaman, minat dan kecenderungan individu, pembelajaran berasaskan masalah dan isu semasa. Pelajar bertanggunjawab memilih, merancang dan melaksanakan semua aktiviti/projek yang selari dengan hasil pembelajaran yang dicatatkan dalam kontrak pembelajaran serta memilih penyelia dalam atau luar yang sesuai bagi menyelia, memantau dan menilai hasil pembelajaran.

Wartawan GMUKM dalam pada itu mendapatkan komen daripada MPP Wakil Fakulti Pendidikan 1/2, saudara Wan Ahmad Fahmi berkenaan perihal ini.

" Saya mewakili rakan-rakan mahasiswa khususnya daripada tahun satu dan dua ini mengucapkan terima kasih kepada pihak PPP (Pusat Perkembangan Pelajar) yang sudi mendengar keluhan kami di peringkat mahasiswa.

" Kita melihat perubahan yang dilakukan oleh PPP seperti mengadakan sesi perbincangan dengan MPP pada 5 haribulan (Januari) lalu dan perbincangan di Kolej Ibu Zain (bersama pemimpin-pemimpin mahasiswa) jelas menunjukkan kebersediaan pihak pentadbiran pada sesi kali ini melibat kan mahasiswa dalam hal-hal yang penting sebegini.

" Di peringkat kita selaku mahasiswa yang sayangkan UKM, kita menyambut baik dan mengucapkan syabas kepada pihak PPP dan Dr Khaidzir (bin Ismail) yang baru dilantik sebagai Pengarah PPP di atas perubahan-perubahan yang telah dilakukan. Kita mengharapkan lebih banyak perubahan yang positif yang akan berlaku selepas ini, " tambah Fahmi lagi.

Untuk rekod, penubuhan Pusat Perkembangan Pelajar (PPP) bermula dengan tertubuhnya Pusat Pembangunan Mahasiswa (PPM). PPM bermula dengan Dekan pertamanya Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Wahid Samsudin, kemudiannya PM Dr. Aminuddin Mohd Yusof, ketiga Y.Bhg. Prof. Dr. Zaidi dan terakhir Pemangku Pengarah Dr. Jamaludin Hj. Badusah.

Apabila PPP terbentuk Prof. Dato’ Dr. Shaharuddin Ahmad dilantik menjawat Pengarah pertama (bermula pada pertengahan Ogos 2007). Penstrukturan semula PPP bermula akhir tahun 2007. Pada bulan Februari 2008 satu bengkel telah dijalankan yang melibatkan pejabat HEP, bertujuan untuk memantapkan lagi fungsi dan peranan PPP & HEP. PPP dibentuk dengan tiga portfolio yang diletakkan di bawah penyeliaan tiga timbalan pengarah iaitu Akademik Kolej, Kokurikulum dan Persatuan & Pengantarabangsaan manakala HEP distruktur semula menjadi Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel).

Terbaru, mulai sesi 2011 Pusat Perkembangan Pelajar (PPP) diletakkan di bawah portfolio di bawah TNC (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa) manakala Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel) akan dikekalkan di bawah portfolio di bawah TNC (Hal Ehwal Pelajar & Alumni).
Gabungan Mahasiswa UKM

Sumber : GMUKM

PRK : Pro-M Unisel ‘Menang Sebelum Bertanding’

Jan 17, Kuala Selangor : Kehangatan Pilihanraya Kampus semakin menghampiri ambang kehangatan dengan bermulanya proses pilihanraya di sebuah kampus di Lembah Klang hari ini.

Hari ini (Isnin), Universiti Industri Selangor (Unisel) merupakan universiti pertama tahun ini yang telah pun mengadakan sesi penamaan calon (Pagi tadi) sehingga 26 Januari ini.

Menurut sumber, Ahli Majlis Tertinggi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Hilman Idham berkata, Unisel menjadi universiti awal kepada pilihan raya kampus dengan keseluruhan 16 kerusi akan dipertandingkan di sana nanti.

Daripada 16 kerusi itu, 12 daripadanya adalah kerusi umum manakala empat lagi kerusi universiti.

“Unisel membuka tirai dengan memulakan proses penamaan calon awal pagi tadi. Ini akan diikuti universiti-universiti lain.

“Penamaan calon hari ini bermula dengan perarakan seramai 100 orang mahasiswa mengiringi calon yang bertanding. Perarakan bermula daripada Dewan Biru ke Canselori,” katanya ketika dihubungi.

Diberitakan selain Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), turut hadir ketika penamaan calon berlangsung adalah pimpinan SMM termasuk Pengerusinya, Shazni Munir, Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional, Mohd Taufiq Abdul, Majlis Politik Nasional GAMIS, Shukri Abd Razab dan bekas pemimpin Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) Unisel.

Setakat jam tengahari tadi, seramai 14 calon umum dan 4 calon falkulti telah dikhabarkan bakal bertanding ketika penamaan calon sebentar tadi dan kesemua calon tersebut adalah daripada Pro-Mahasiswa Unisel.

Dimaklumkan, proses pengundian tetap akan dijalankan memandangkan hanya 12 kerusi diperuntukkan untuk kerusi umum dan 4 fakulti.

Dengan situasi pihak lawan tidak menghantar seorang pun calon untuk bertanding, Pro-Mahasiswa telah diisytiharkan menang sebelum bertanding.

Pro-M Unisel sebelum ini telah pun memegang tampuk pemerintahan di kampus berkenaan tahun lalu.

“Semua dalam keadaan baik. Empat kerusi dipertandingan bagi kerusi universiti; terdiri daripada fakulti kejuruteraan, bioteknologi, pendidikan dan sains sosial dan teknologi maklumat,” katanya.

Beliau turut menyeru mahasiswa untuk bersama-sama menjalankan tanggungjawab dalam proses penamaan calon ini.

“Harapan kami agar para mahasiswa dapat menjalankan tanggunjawab mereka untuk mencalonkan mana-mana individu yang sesuai agar dapat menerajui pimpinan mahasiswa di Unisel ini,” katanya yang turut mewakili persatuan mahasiswa lain.

Sementara itu, Pengerusi Pro-M Nasional, Mohd Taufiq Abdul pula berharap momentum kemenangan Pro-M di Unisel dapat dibawa ke kampus lain.

“Permulaan kita sudah berjaya menang, jadi saya harap Pro-M di seluruh kampus lain dapat menjadikan kemenangan ini sebagai pembakar semangat.”

“Yang penting kita jangan berada dalam keadaan selesa lagi, perjuangan masih awal, banyak lagi yang perlu kita buat untuk terus mengubah landskap kepimpinan akan datang di semua kampus.”, jelasnya ketika dihubungi. – UMtoday.

Monday, January 10, 2011

Ziarah di Kelantan..

sumbangan kepada keluarga Siti Maisarah

sumbangan kepada ibu arwah Siti Esah.


Gm-Fpi mengucapkan sekalung tahniah kepada MPP Fakulti Pengajian Islam saudara Mohd Zaim Juwaidi bin Jamaluddin di atas lawatan ziarah yang dilakukan terhadap keluarga arwah Siti Esah Mohamed dan Siti Maisarah Ghazali. Seperti yang diketahui umum dua orang pelajar Pengajian Islam dari Jabatan Syariah ini terlibat dalam satu kemalangan yang berlaku di Gua Musang pada penghujung semester lepas.

Lawatan yang dilakukan ini disertai seramai 38 orang pelajar yang terdiri daripada PMFPI dan kelab-kelab Jabatan Pengajian Islam. Pihak Pentadbiran Fakulti Pengajian Islam turut membantu dari segi penyediaan pengangkutan bas .


" keadaan berlaku ketika semua telah meninggalkan kampus untuk bercuti akhir semester, ramai tidak mengetahui akan perkara ini, jadi, lawatan ziarah ini bertujuan untuk melihat sendiri keadaan Siti Maisarah dan keluarga arwah Siti Esah dan dengan harapan kedatangan kami ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat kepada Siti Maisarah untuk terus berusaha menamatkan pengajian beliau apabila sembuh nanti". kata saudara Zaim.

Sumbangan dalam bentuk wang tunai dan barangan seperti beras dan pakaian juga diberikan ke atas keluarga terbabit terutamanya kepada keluarga arwah Siti Esah.

"Satu hari lawatan ziarah ini begitu menyentuh hatiku terutamanya melihat keadaan keluarga arwah Siti Esah yang serba kekurangan, masih ada masyarakat yang memerlukan bantuan". Ujar saudara Ikram yang turut serta dalam lawatan tersebut.

Takziah buat keluarga kedua-dua pelajar terbabit, Gm-fpi mendoakan agar saudari Siti Maisarah dapat kembali meneruskan pengajian dan kehidupan seperti biasa. Semoga arwah Siti Esah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang salih. Al-Fatihah.








LinkWithin

Related Posts with Thumbnails