Wednesday, April 27, 2011

Salam takziah buat keluarga Alllahyarham PM Dr Ahmad Redzuwan


Allahyarham Prof. Madya Dr. Ahmad Redzuwan Mohd. Yunus


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.Segala puji dan sanjungan hanya untuk Allah, mudah-mudahan selawat dan salam dilimpahkan kepada hamba Allah dan Rasulnya, Nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan para sahabatnya sekalian.

Dukacita dimaklumkan bahawa Prof. Madya Dr. Ahmad Redzuwan Mohd. Yunus, Pensyarah Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, telah kembali ke rahmatullah pada 22 April 2011 (Jumaat). Allahyarham juga bertugas sebagai Ketua Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pengajian Islam, UKM. Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di kampung asal Allahyarham di Temerloh, Pahang.

Warga UKM mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.Amin ya Rabbal Alamin. Al Fatihah.(ewarga/bul/bil.25042011-102).

Sejenak bermuhasabah :
Cukuplah kmatian itu sebagai peringatan kepada kita semua bahawa dari Allah kita datang dan kepadaNya kita pasti kan kembali sebagaimana Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: ‘’Hendaklah kamu memperbanyakkan menyebut perkara-perkara yang akan melenyapkan kelazatan (mati).
H.R Tarmizi, Nasaie dan Ibnu Majah

Sabda Rasulullah s.a.w : ‘’Hendaklah kamu mengingati mati kerana mengingati mati itu boleh menghapuskan dosa dan mendorong seseorang itu zuhud di dunia’’.

Sabda Rasulullah s.a.w : ‘’ Memadailah mati itu sebagai nasihat’’


Sabda Rasulullah s.a.w :‘’Dengan banyak mengingati mati dan mengadakan persediaan yang lebih baginya,mereka itulah orang-orang pintar yang pergi dengan kemuliaan dunia dan kehormatan akhirat’’.
H.R Ibn Majah

Sabda Rasulullah s.a.w :‘’Hendaklah kamu hidup sebagai seorang yang mulia yang mana dunia tidak mempengaruhi kamu ataupun hendaklah kamu mati syahid’’.

Firman Allah:‘’Katakanlah,sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya itu tetap akan menemui kamu,kemudian itu kamu akan dikembalikan kepada Tuhan yang Maha Mengetahui segala yang tersembunyi dan yang nyata,maka Dia akan memberitahu kamu apa yang pernah kamu lakukan.’’
Surah al-Jumuah:8

Hakikat sebuah kematian itu pasti,namun seringkali kita alpa dan melupakan detik pengakhiran sebuah kehidupan yang merupakan jambatan untuk ke akhirat yang kekal abadi. Ayuh, kita bermuhasabah dan pertingkatkan amal soleh serta meninggalkan laranganNya.Mudah-mudahan kita mendapat keredhaanNya.Amiin ya Rabbal 'Alamin.

Sumber ; Blog PMFPI

Pertemuan MPM Aida & Ikram Bersama Unit Penjanaan, Jabatan Bendahari


Usaha menyuarakan hasrat mahasiswa berkaitan isu kafeteria ke pentadbiran tercapai jua apabila semalam, saya dan Ikram bertemu Unit Penjanaan, Jabatan Bendahari UKM. Mesyuarat bersama Encik Mansor Shahid, Encik Nazri Putra Ramli dan Encik Kadir Rahmat bermula pada jam 9.30 pagi di Bilik Mesyuarat, Jabatan Bendahari, Canselori.

Agenda pertama dimulakan dengan pembentangan analisis soal selidik untuk mahasiswa berkaitan dengan pemantauan kafeteria. Saya turut mengemukakan rekod aduan bagi setiap kafeteria seluruh kampus dalam sesi pembentangan itu.

Berkaitan harga makanan, kebanyakan mahasiswa berpendapat bahawa kadar harga yang ditetapkan oleh para pengurus cafeteria tidak sesuai untuk pelanggan utama mereka yang berstatus pelajar. Hal ini berlaku di cafeteria seperti di Kolej Keris Mas dan Kolej Burhannuddin Helmi. Selain harga makanan yang mahal, harga yang tidak menentu dan bergantung kepada penjaga kaunter turut berlaku terutama di kafeteria Fakulti Sains dan Teknologi dan Kolej Aminuddin Baki.
Berhubung dengan kebersihan makanan, banyak aduan yang dikemukakan adalah berkaitan bahan mentah yang dimasak sudah lama dan rosak seperti yang berlaku di kafeteria Kolej Ibu Zain. Malahan makanan di kafeteria Kolej Dato’ Onn seringkali mengandungi telur lalat. Secara keseluruhannya, kebanyakan kafeteria mempunyai masalah kebersihan makanan dan tempat penyediaan makanan.

Respon dari Encik Mansor Shahid memberitahu bahawa kafeteria seperti Kolej Rahim Kajai dan Kolej Aminuddin Baki yang sudah lama kontraknya akan tamat. Perlantikan tender kafeteria bagi kolej tersebut akan diadakan bagi memenuhi keperluan sesi semester akan datang. Dalam tempoh sebulan dari sekarang, sesi temuduga terhadap syarikat yang berminat akan dijalankan. Kafeteria Kolej Burhanuddin Helmi pula akan ditamatkan kontrak atas permintaan mahasiswa yang menghuni kolej tersebut kerana terlalu mahal. Baru kelmarin pihak Unit Penjanaan membuka kepada mana-mana syarikat yang berminat menggantikan kafeteria KBH yang ada sekarang.

Apabila diajukan masalah yang dihadapi oleh mahasiswa Kolej Keris Mas berkaitan kafeteria mereka, En Mansor memberitahu isu tersebut telah dimaklumkan ke pihak pentadbiran atasan universiti kerana melibatkan syarikat universiti. Manakala kafeteria di Kolej Pendeta Zaaba pula bukan dibidang kuasa Unit Penjanaan tetapi sepenuhnya Syarikat Kauthar.

Pihak Encik Mansor menyambut baik cadangan yang dikemukakan iaitu:
  • penetapan/penyelarasan harga makanan bagi satu tempoh tertentu.
  • penyelarasan pemantauan kafeteria oleh Unit Penjanaan dan Pusat Kesihatan untuk penggredan kafeteria.
  • soal selidik pemantauan kafeteria secara online untuk liputan menyeluruh dan membumi
En Kadir Rahmat merasakan pertemuan sebegini perlu lebih kerap demi menambahbaik dan memastikan kafeteria menyediakan perkhidmatan yang terbaik. Katanya lagi, pihak Unit Penjanaan sangat berbesar hati menerima kunjungan dan ide pandangan dari mahasiswa.

Tidaklah usaha ini terhenti di sini, bahkan akan berjalan tanpa henti. Cuma mengharap sokongan dan dokongan dari rakan-rakan mahasiswa.

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI.

Sumber : MPM AIDA

Tuesday, April 12, 2011

FPI Lulus Manifesto MPM Ikram

pada 21:06

UKM, 12 April - Majlis Perwakilan Mahasiswa Fakluti Pengajian Islam Tahun 1 dan 2 ( MPM FPI 1 dan 2) merangkap Naib Presiden 4 PMUKM Saudara Muhammad Ikram Bin Darus telah menerima satu surat daripada kedekanan FPI. Surat tersebut merupakan surat kelulusan permohonan bilik khas mesin fotostat dan tempat khas water cooler di FPI seperti yang dijanjikan beliau dalam manifesto pilihanraya kampus lalu.

Surat tersebut memberitahu bahawa Mesyuarat Pengurusan Fakluti Pengajian Islam Yang ke-266 pada 1 April 2011 telah membuat keputusan iaitu:

1. Bilik Fotostat
Fakulti bersetuju memberi ruang khas di tangga paras bawah Fakulti Pengajian Islam bersebelahan dengan Singgahan Ilmu sebagai ruang kemudahan mesin fotostat dan pusat perkhidmatan kepada pelajar-pelajar Fakulti Pengajian Islam.Walau bagaimanapun keputusan ini tertakluk kepada persetujuan dan kelulusan bendahari UKM dan Jabatan Pengurusan Pembangunan. Mesin fotostat akan disedia dan diuruskan oleh pihak pelajar.

2. Perkhidmatan watercooler
Fakulti telah bersetuju perkhidmatan water cooler disediakan di paras bawah bangunan Fakluti Pengajian Islam.Fakluti telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pengurusan Pembangunan untuk membekalkan kemudahan perkhidmatan berkenaan.

Sehubungan dengan itu, pihak Majlis Perwakilan Mahasiswa FPI juga akan bertindak secepat mungkin untuk memastikan kemudahan pelajar seperti yang dinyatakan diatas dapat disegerakan.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kedekanan FPI yang telah meluluskan permohonan manifesto saya dan saya akan cuba sedaya upaya bersama-sama pihak pentadbiran FPI untuk terus mendapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa untuk memastikan kemudahan mesin fotostat dan juga watercooler disegerakan demi mahasiswa Fakulti Pengajian Islam. Saya juga berharap,seluruh mahasiswa Fakulti Pengajian Islam akan sabar untuk kemudahan tersebut kerana ia memerlukan proses yang banyak. Saya faham keadaan anda kerana saya juga turut mengalaminya. Saya mengajak semua mahasiswa FPI memberi sokongan pada saya dalam melaksanakannya."-Saudara Muhammad Ikram BIn Darus.

Dengan adanya kelulusan tersebut, saudara Muhammad Ikram menarik lafas lega dan alhamdulillah kerana masalah kekurangan kemudahan di FPI dipedulikan oleh pihak pentadbiran FPI.



BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails