Tuesday, June 5, 2012

SPEAKER CORNER : OPS KUNCI


“Kecaknaan Mahasiswa Menjamin Keharmonian Bersama”



24 Mei 2012- GMFPI UKM telah melancarkan speaker corner yang bertempat di depan kafeteria dan di sebelah kedai buku Penerbit UKM.

Speaker Corner kali ini menampilkan antara Ikon Muslimat Muda iaitu Saudari Tuan Zul Ajma bt Tuan Ahmad sebagai Exco Lajnah Ekonomi & Pemasaran yang mewakili ISIUKM. Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam , Saudara Mohd Rasyid Ismail juga turut sama berpidato, bagi menyatakan tanda sokongan bahawa isu keselamatan di UKM sangat dititik beratkan.


Saudari Tuan Zul Ajma Tuan Ahmad selaku wakil ISIUKM mengulas mengenai isu keselamatan siswi. Beliau menyatakan bahawa terdapat ramai siswi yang pulang lewat malam disebabkan oleh ketinggalan bas mahupun mesyuarat yang habis lewat. Hal ini telah menyebabkan mereka berjalan kaki sendirian untuk pulang ke kolej masing-masing. Keadaan ini agak merisaukan kerana terdapat pelbagai ancaman samada manusia berhati binatang mahupun haiwan liar.



Kerisauan ini berlandaskan kepada kes yang berlaku pada minggu lepas, iaitu seorang siswi yang keseorangan telah dikejar oleh seorang warga Indonesia berhampiran dengan masjid. Oleh itu, beliau telah menyarankan beberapa langkah keselamatan kepada rakan-rakan siswi :


  1. Pastikan tidak berjalan sendirian.
  2. Pastikan berteman dan teman tersebut sama jantina.
  3. Jika anda berjalan di sisi jalan, pastikan tidak memegang peralatan berharga seperti laptop, telefon bimbit, dompet dan sebagainya. Jika anda perlu memegangnya, pastikan barang tersebut berada di tangan yang tidak bersebelahan dengan jalan.
  4. Jika anda balik lewat malam pastikan ada orang yang menghantar anda pulang.


Akhir sekali beliau mengesa agar semua mahasiswa agar cakna dengan keselamatan samada terhadap diri sendiri, harta awam dan rakan-rakan kampus. Moga keprihatinan mahasiswa terhadap isu keselamatan ini akan mengurangkan kes-kes yang ada sekarang.



Sementara itu, Mohd Rasyid bin Ismail (YDP PMFPI) turut mengupas tentang isu keselamatan di UKM yang semakin membimbangkan. Antaranya ialah , kecurian motosikal dan laptop yang berlaku disekitar kampus melibatkan pelajar dan para pensyarah.



Beliau turut menyatakan resolusi yang sudah dibincangkan bersama PMUKM iaitu :



  • Mengetatkan kawalan keluar dan masuk ke dalam kawasan kampus di pintu-pintu masuk UKM ( tindakan daripada WISMA AMAN)
  • Mengadakan rondaan keselamatan ditempat-tempat yang berisiko berlakunya kes kecurian. ( tindakan daripada WISMA AMAN)
  • Mewujudkan sistem pendaftaran barangan elektronik pelajar, khususnya laptop.
  • Menambah baik sistem pencahayaan lampu jalan di sekitar UKM.
  • Memasang grill di pintu-pintu bilik setiap kolej.
  • Mewujudkan kawasan parking berpalang di setiap fakulti.


Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau mengharapkan kerjasama seluruh mahasiswa/i dalam membanteras masalah ini terutamanya apabila kes-kes ini berlaku dihadapan mereka dengan bertindak segera melaporkannya kepada pihak WISMA AMAN. Di samping itu juga, mahasiswa/i perlu memberikan partisipasi yang penuh terhadap segala program-program yang dianjurkan oleh PMUKM bagi membendung masalah kecurian ini. Sekian.




"Jom semua, jaga keselamatan diri dan harta benda

daripada menjadi mangsa kecurian."

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails