Friday, October 22, 2010

BEBASKAN MAHASISWA DARIPADA PARTI POLITIK

Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) sentiasa menyokong penuh kebebasan mahasiswa berpolitik. Ini berasaskan Perkara 10 Perlembagaan Malaysia yang jelas menyatakan kebebasan warganegara bersuara dan berhimpun.

Namun seperti yang sedia maklum, isu penglibatan mahasiswa UKM daripada Skuad Palapes UKM dalam sebuah program anjuran parti politik baru-baru ini jelas bertentangan dengan Akta Univeriti & Kolej Universiti (AUKU) Seksyen 15 (5a) ; yang menyatakan bahawa ‘tiada seorang pun pelajar universiti dan tiada pertubuhan , badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabah ditafisirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap –

(a) Mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia
(b) Mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang sama ada di dalam atau di luar Malaysia; atau
(c) Mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang ditetapkan oleh Menteri di bawah perenggan (1)(c) dan (2)(c) sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu.’

Justeru itu, jika disandarkan kepada akta tersebut, tindakan yang dilakukan oleh kedua-dua siswa UKM tersebut memang telah melanggar akta ini. Ini kerana kedua-dua siswa ini memang secara jelas terbabit secara langsung dalam program tersebut.

Namun pada itu Gabungan Mahasiswa UKM mendapat maklumat awal kedua siswa ini telah mendapat arahan untuk berpartisipasi dalam program tersebut daripada pihak Palapes. Justeru itu, kita ingin mempersoalkan kepada pihak pentadbiran dan pengurusan PALAPES UKM;

> Siapakah yang mengarahkan kedua orang mahasiswa ini turun ?
> Bagaimanakah parti tersebut mudah berhubung dengan pihak UKM?
> Apakah wujud wakil parti politik tersebut dalam UKM?
> Apakah kaitan UKM dengan parti politik tersebut ?
> Dan lebih penting sekali, SIAPAKAH ORANG di belakang parti politik tersebut di kampus UKM?

Gabungan Mahasiswa UKM dalam pada itu bersimpati dengan nasib kedua siswa ini yang dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu atas kepentingan parti tersebut semata-mata. Kedua orang siswa tersebut tidak harus diarahkan ke program parti politik tersebut atas nama PALAPES kerana ia dilihat mencabuli disiplin ketenteraan itu sendiri yang bersifat non-partisan.

Justeru di sini GMUKM berpendirian tegas bahawa mahasiswa tidak wajar dijadikan alat parti politik kerana mahasiswa itu ada idealismenya tersendiri dan seharusnya bebas daripada cengkaman mana-mana parti politik. GMUKM juga amat berharap kampus UKM akan bebas daripada cengkaman parti politik dan sentiasa mengekalkan identiti universiti itu sendiri sebagai pusat ilmu yang unggul.

BEBASKAN UKM DARIPADA PARTI POLITIK!


Ber-GM Lebih Baik!

Sumber : GMUKM

Kronologi isu jadual peperiksaan Sem 1, Sesi 2010/2011

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini kembali dihangatkan dengan isu akademik dengan permasalahan mahasiswa -mahasiswi yang membantah jadual peperiksaan akhir yang dikatakan padat berikutan pekeliling yang dikeluarkan daripada Bahagian Pengurusan Akademik. Ini kerana penyusunan jadual yang begitu padat sehingga dimaklumkan bahawa terdapat sebahagian kecil mahasiswa yang terpaksa mengambil subjek sehingga 3 kertas sehari mendapat bantahan daripada mahasiswa UKM.

Sebelum ini, UKM turut dipanaskan apabila mahasiswa-mahasiswa UKM membantah ketiadaan Minggu Mengulangkaji (Study Week) yang digugurkan akibat kekangan cuti pada tahun ini. Pejabat TNC (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa) pula dalam pekeliling yang dikeluarkannya pula beralasan jadual untuk tarikh-tarikh ini telah dikeluarkan kepada semua mahasiswa seawal 6 November 2009 dan pihak universiti ketika itu tidak menerima sebarang permohonan untuk diubah.

Berikut adalah kronologi permasalahan berlaku :

06 November 2009 - Kalendar Akademik bagi untuk sesi akademik 2010/2011 dikeluarkan.
06 Oktober 2010 - Pengedaran Kad Masuk Peperiksaan & Jadual Waktu Peperiksaan (KMJP) Semester 1, Sesi Akademik 2010/2011.
14 Oktober 2010 - Mesyuarat Majlis Perwakilan Pelajar UKM bersama Majlis Pengurusan Pelajar (MPU) UKM. Isu cuti Deepavali dibangkitkan. Majlis bersetuju akan merombak jadual peperiksaan dengan jaminan tiada bebanan jadual peperiksaan terhadap mahasiswa.
19 Oktober 2010 - Pengedaran Kad Masuk Peperiksaan & Jadual Waktu Peperiksaan (KMJP) yang baru dengan pindaan setelah berlaku perubahan tarikh peperiksaan berikutan UKM bercuti sempena Hari Deepavali pada 3-8hb November. Pertukaran jadual peperiksaan pada tarikh 3 dan 8hb adalah seperti berikut:

1. Peperiksaan 8/11/2010 pagi ditukarkan ke 30/10/2010 petang
2. Peperiksaan 8/11/2010 tengahari ditukarkan ke 26/10/2010 malam
3. Peperiksaan 8/11/2010 petang ditukarkan ke 27/10/2010 malam
4. Peperiksaan 3/11/2010 (pagi,tengahari,petang) ditukarkan ke 31/10/2010

Serentak dengan pengedaran KMJP yang baru, para mahasiswa UKM telah membantah secara beramai-ramai. Pertemuan semula MPP dengan TNC (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa) juga gagal memberikan maklum balas yang positif. Cakap-cakap di fakulti juga memungkinkan ada perubahan-perubahan kecil terutama melibatkan mahasiswa yang terpaksa menghadapi tiga buah peperiksaan dalam satu hari.

Gabungan Mahasiswa UKM selaku 'front' yang mewakili mahasiswa UKM nyata terkesan dengan permasalahan yang berlaku di dalam kampus. Kita di peringkat Gabungan Mahasiswa dalam pada itu menasihatkan rakan-rakan mahasiswa akan menggunakan masa yang tinggal ini semaksium mungkin untuk mengulangkaji pelajaran.



Ber-GM Lebih Baik!

Sumber : GMUKM

Festival busana: NGO, pelajar Islam kecam Rosmah

Semakin ramai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, parti politikdan juga orang perseorangan tampil membantah tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW pada penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo, 9 Ogos lalu.


Antaranya, bahagian hal ehwal wanita, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang berpandangan bahawa isu penjagaan aurat dan hijab adalah vital jika masyarakat mahu membicarakan tentang fesyen Islam.

“Justeru, HELWA ABIM merasa sangat kecewa dan terkilan dengan interpretasi fesyen Islam yang gagal dihayati dan difahami secara keseluruhannya, khususnya menyentuh isu penjagaan aurat yang menjadi elemen terpenting dalam penghayatan Islam secara keseluruhannya.


“Malah apa yang dipotretkan kepada masyarakat sewaktu penganjuran Islamic Fashion Festival ini nyata jauh tersasar dan mengelirukan masyarakat Islam sendiri malah serta merupakan unsur-unsur penghinaan terhadap Islam dengan jelas,” kata naib presiden Helwa, Fadhlina Siddiq dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, menutup aurat dan hijab adalah lambang wanita Islam dan ia bukan pakaian bermusim untuk pesta-pestaan serta bukan pakaian untuk melambangkan siapa yang lebih Islamik.
Dipesta-pestakan

“Andai wanita Islam jelas tentang konsep dan anjuran syariat tentang kewajipan menutup aurat, tidak timbul soal fesyen Islam yang berterusan mahu dipesta-pestakan sedangkan ia jelas bertentangan dengan syariat dan sama sekali terpesong dari fahaman esensi kepentingan menutup aurat yang sebenar,” katanya lagi.


Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) juga menyatakan rasa kesal dengan penganjuran Festival Busana Muslim yang didakwanya jelas menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW.

Menurut Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari Saidon, pemikiran sempit itu semakin mencelarukan kefahaman muda-mudi terhadap Islam itu sendiri sehinggakan terdapat pemikiran Islam ala pemerintah Malaysia sekarang dan yang dituntut di dalam Al-Quran sendiri.

"GAMIS mengecam sekeras kerasnya tindakan Rosmah Mansor yang didapati menghina syariat Islam dan Nabi Muhammad SAW apabila salah satu fesyen mereka melukis nama Nabi dalam keadaan pakaian itu jelas mendedahkan sebahagian besar aurat mereka.


"Sangat mendukacitakan jika rakyat Malaysia khususnya umat Islam masih tidak tersedar dan sensitif akan isu ini. Dulu umat Islam sangat sensitif terhadap isu murtad, kita juga berarak bantah kartun Nabi yang dibuat di Denmark.
"Kita juga tidak terlepas menyertai perarakkan Maulidur Rasul, menyatakan sayangnya kita kepada Rasulullah, tetapi ini juga satu bentuk penghinaan terhadap Rasulullah, dan kita perlu bantah serta bertegas dengan mereka yang menganjurkannya" katanya.

Turut membidas penganjuran Festival Busana Muslim itu adalah Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak yang menyatakan ia tidak wajar dilaksanakan kerana unsur dan konsep fesyen Islam yang dianjurkan oleh Rosmah tidak diperhalusi setiap tindakan yang dibuat.
Nasihat mufti?

“Adakah pesta ini telah dirujuk atau mendapat nasihat daripada mufti-mufti atau penasihat agama?

“Persoalan yang timbul seterusnya pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan pesta ini turut serta atau tidak dalam memastikan pesta yang dianjurkan ini benar-benar mengikut landasan yang digariskan oleh syarak,” kata presidennya Mohd Syahid Mohd Zaini.

Menurut beliau, pesta fesyen yang secara zahirnya yang dianggap nampak Islamik tetapi fesyen pakaian yang dikenakan oleh isteri perdana menteri tidak mengikut cara Islam semasa merasmikan IFF tersebut.

“Kami di peringkat mahasiswa menuntut penjelasan daripada isteri perdana menteri berkenaan perkara ini dan sehubungan itu pihak NGO Islam juga mesti selidik secara terperinci akan hal ini,” kata mmahasiswa Universiti Malaya itu.

Turut membidas tindakan Rosmah, selaku penaung festival busana itu adalah Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (Ilmam).
Ilman: Jangan jadi 'syaitan bisu'

Dalam satu kenyataan, presidennya, Mohd Azizul Hisham Zulkifli berkata seluruh umat Islam perlu membantah dan mencela IFF ini dan tidak menjadi 'syaitan bisu'.

“Adakah kita puas melihat Islam dipermainkan begitu sahaja dan banyak lagi syubhat-syubhat yang telah dimainkan oleh musuh Islam untuk menghancurkan maruah Islam?

“Ilman melahirkan satu kebimbangan terhadap kepimpinan negara yang tidak prihatin terhadap isu ini. Ini secara jelas adalah satu perancangan jahat musuh Islam untuk merosakkan pemikiran umat Islam di mana sahaja mereka berada.,” katanya dalam satu kenyataan

Katanya, Ilman juga menyeru agar pihak yang terlibat agar segera bertaubat dan tidak lagi mengulangi kemungkaran ini.

Semalam, dewan pemuda PAS pusat mengumumkan akan berhimpun secara aman di masijid-masid tertentu di seluruh negara, hari ini selepas solat Jumaat sebagai membantah tindakan Rosmah didakwa menghina syariat Islamitu.


"Saya akan mengetuai bantahan terhadap Rosmah di Masjid Sultan Ahmad Shah di Kuantan manakala di Masjid kampung Baru (di KualaLumpur) akan diketuai oleh Kamaruzaman Mohamad (exco pemuda PAS)," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan.
Menurut beliau, tindakan Rosmah selaku penganjur majlis itu sesuatu yang keterlaluan.

Pada festival itu, perkataan "Muhammad" dalam tulisan Arab secara terbalik didakwa diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat.

Sumber : malaysiakini

Wednesday, October 20, 2010

Siswa UKM sertai raptai perhimpunan Umno?


Dua mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) didakwa turut mengambil bahagian dalam raptai penuh perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 Oktober lalu.

Kumpulan yang dikenali sebagai Kesatuan Mahasiswa Mahasiswa Sedar (KEMAS) mendakwa ia dapat mengecam kedua-dua mahasiswa UKM itu di dalam foto yang disiarkan akhbar Berita Harian pada hari berikutnya.

Perasmian perhimpunan agung Umno tahun ini akan disempurnakan oleh Presiden Umnno, Datuk Seri Najib Tun Razak di PWTC esok.

KEMAS mendakwa mahasiswa terbabit adalah daripada Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Kejuruteraan UKM.

"Kehadiran mereka ini juga berkaitan rapat dengan pernglibatan pentadbiran universiti dengan parti Umno," kata jurucakap KEMAS, Fathi Hisham (dua dari kiri) yang membaca satu kenyataan hari ini.

Katanya, KEMAS juga yakin penglibatan mahasiswa UKM dalam perhimpunan agung Umno kali ini melebihi dua orang.

Fathi yang juga pelajar tahun dua Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan berkata gambar tersebut menunjukkan mahasiswa terlibat memakai baju Melayu Putih, bersongkok dan bersampin yang mempunyai logo Umno.

Kejadian itu, katanya, adalah sama sepertimana kes mahasiswa yang telah dikenakan hukuman di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) - Saudara Soh Sok Hua - yang dihukum kerana gambarnya tersiar di akhbar dengan memakai pakaian yang mempunyai logo parti politik beberapa tahun lalu.

Sementara itu, setiausaha KEMAS Syamir Zulkefli (Foto atas: yang pegang mikrofon) - dalam kenyataannya - menggesa pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti berkenaan supaya segera menyiasat perkara ini mengikut undang-undang dan prosedur seharusnya.

Beliau juga mendesak agar Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin supaya menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat penglibatan pentadbiran universiti dan mahasiswa dalam perhimpunan agung Umno itu.

Sementara dalam sidang media selepas itu, Fathi berkata pihaknya mendapat maklumat berhubung perkara tersebut melalui sumber yang dipercayainya.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan identiti dan jumlah individu sebenar yang terlibat dalam perhimpunan tersebut.

"Mungkin satu pasukan diarahkan (menyertai perhimpunan)....Saya tidak mahu menyatakan (jumlahnya) pada hari ini," katanya.

Sementara itu, Malaysiakini telah cuba menghubungi ketua penolong pendaftar kanan hal ehwal pelajar UKM, Musa Zainal Abidin Othman.

Bagaimanpun, Malaysiakini dimaklumkan oleh pejabatnya bahawa beliau sedang menghadiri bengkel di Sabah dan dijadualkan pulang esok.

Sumber : Malaysiakini

Monday, October 11, 2010

Kenali GMUKM - SIRI 1



APAKAH DASAR PERJUANGAN GABUNGAN MAHASISWA UKM (GMUKM) ?

Secara ringkas GMUKM menggariskan tiga (3) dasar utama iaitu;

1.Falsafah UKM : yakni paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti.

2.Kebajikan semua mahasiswa serta masyarakat kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tanpa mengira batasan agama dan kaum.

3.Nilai keintelektualan dan keilmuan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


APAKAH PRINSIP GABUNGAN MAHASISWA UKM (GMUKM) ?

GMUKM melalui ‘front’ di bawahnya telah bersepakat menetapkan enam (6) prinsip perjuangan iaitu;

i. Demokrasi
ii. Keadilan Sosial
iii. Non-partisan
iv. Keintelektualan
v. Kesepaduan kaum


APAKAH MATLAMAT SEBENAR PERJUANGAN GABUNGAN MAHASISWA UKM (GMUKM) ?

Secara umumnya, GMUKM memperjuangkan :

1. pembinaan minda mahasiswa ke arah pemikiran kelas pertama.
2. hak kebebasan bersuara seluruh mahasiswa-mahasiswi UKM.
3. membebaskan mahasiswa daripada belenggu karenah birokrasi pentadbiran universiti yang menyulitkan.
4. Melahirkan sifat kepimpinan dalam diri setiap mahasiswa yang mempunyai idealisme perjuangan.


Bersambung...

Sumber : GMUKM

Jangan lupa, mahasiswa kini adalah pengundi PRU-13 !

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) yang merupakan komponen Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengingatkan pihak pemerintah kerajaan Malaysia hari ini agar berhati-hati dalam menetapkan sesuatu dasar atau polisi khususnya yang membabitkan mahasiswa. Ini kerana sebarang tindakan yang dilihat bercanggah dan tidak rasional pada pandangan mahasiswa sekarang akan mengakibatkan kesan yang buruk terus kepada parti pemerintah yang ada sekarang menjelang Pilihanraya Umum ke-13.

Gabungan Mahasiswa UKM telah mendapatkan pandangan Dr Samarudin Md Rejab yang merupakan bekas Presiden Kesatuan Pelajar Institut Teknologi Mara di tahun 1970-an. Beliau yang kini merupakan seorang peguam kanan dan pakar yang mengkaji Perlembagaan Persekutuan berkata, mahasiswa kini yang ditekan dan ditindas dengan Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) akan bangkit menentang sebagaimana sebelum AUKU diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengekang kekuatan mahasiswa.

AUKU, ujarnya telah digunapakai oleh kerajaan pemerintah bagi memastikan pergerakan pelajar dapat dikekang dalam usaha membantutkan pemikiran intelektual golongan itu daripada menyampaikan buah fikiran yang kritikal. Contoh terkini dalam kes 'UKM4' yang membabitkan empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia jurusan sains politik, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak rayuan mereka terhadap penggunaan AUKU dalam pendakwaan ke atas mereka.

Dr Samarudin berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) kini adalah pemerintah kerajaan pusat masa kini , tetapi harus diingatkan pada pilihan raya umum seterusnya, BN akan berdepan dengan mahasiswa yang kini berada di IPTA dan IPTS.Golongan ini yang sekiranya merasakan mereka telah ditindas oleh dasar dan peraturan kerajaan semasa, bakal 'membalas dendam dengan mengadakan 'undi protes' terhadap kerajaan pusat yang sedia ada.

"Walaupun ditekan begitu rupa oleh Auku sejak hampir 40 tahun, pergerakan pelajar di peringkat universiti tidak lemah, masih dinamik dan ada kekuatan kerana jumlahnya yang besar. Misalnya, jika sebuah universiti mempunyai 5,000 pelajar, jika 10 buah universiti, di situ sudah ada 50,000 pelajar.

"Sekarang ini, di Malaysia kita ada kira-kira 20 hingga 30 buah institut pengajian tinggi awam termasuk swasta. Ini adalah jumlah yang sangat besar, bermakna lebih kurang 100,000 hingga 200,000 pelajar dan mereka ini adalah satu kekuatan yang tidak boleh diketepikan.

"Dalam konteks demokrasi dan pilihan raya, mereka inilah bakal pengundi yang signifikan tetapi dari segi kepimpinan, mereka ini tersekat oleh kerana adanya AUKU yang menyekat pergerakan mereka," ulas beliau lanjut.

Justeru menurut pandangan Dr Samrudin lagi, rakyat Malaysia yang telah mencapai syarat umur untuk mengundi dalam proses demokrasi tidak kira sama ada pelajar, pekerja atau pun masyarakat umum berhak mengambil bahagian secara aktif dalam proses demokrasi kerana hak tersebut telah diberikan oleh Perlembagaan Negara.

Justeru BN harus berhati-hati dengan jumlah mahasiswa yang kini sedang memerhatikan sebarang polisi dan dasar kerajaan. Golongan ini juga seperti sedia maklum akan mengisi senarai Daftar Pemilih Terkini SPR setelah mendaftar sebagai pengundi setelah cukup umur. Suara mahasiswa kini perlu dilihat sebagai suara anak kecil yang bakal kedengaran besar apabila cukup umurnya. Justeru, ingatan daripada komponen SMM bahawa, jangan dicabar jiwa anak muda ini.

Kita di peringkat Gabungan Mahasiswa UKM yang sejak awal-awal lagi mengingatkan kepada pihak-pihak yang sering memperkotak-katikkan mahasiswa agar berhati-hati kerana gendang pilihan raya umum mula kedengaran setelah Parlimen yang dibentuk selepas 8 Mac 2008 bakal cukup tempoh matangnya tiga tahun menjelang pertengahan tahun hadapan; 2011. Justeru, kita mengingatkan sekali lagi, sebarang keputusan, dasar atau polisi terutamanya yang sengaja diadakan dengan tujuan mengekang gerakan mahasiswa akan memburukkan lagi keadaan. Gabungan Mahasiswa UKM optimis tiada pihak yang akan mampu mengekang kemaraan gerakan mahasiswa apabila kesabaran kita mahasiswa sampai pada peringkat maksimumnya.

Jangan lupa, mahasiswa kini adalah pengundi PRU-13 !

Salam tranformasi,


Gabungan Mahasiswa
Universiti Kebangsaan Malaysia
Bangi, Selangor Darul Ehsan.
01 Oktober 2010

Sumber : GMUKM

Friday, October 8, 2010

Permohonan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI-SR dan KPLI-jQAF) Ambilan Januari 2011



Assalamu'alaikum w.b.t

Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Aplikasi Permohonan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI-SR dan KPLI-jQAF) Ambilan Jan 2011 boleh dibuat mulai pada 11 Oktober 2010 (Isnin) melalui laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia : http://www.moe.gov.my/.

Calon dikehendaki mendapatkan NO PIN di cawangan BSN berhampiran sebelum membuat permohonan.

Sekian, terima kasih.

Rujuk : Web KMP


Kementerian Pelajaran Malaysia mempelawa calon yang berkelayakan, berpotensi, berminat dan beriltizam untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah (Sekolah Rendah) Mode Sepenuh Masa atau Kursus Perguruan Lepas Ijazah (Sekolah Rendah) j-QAF Mode Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah di Institut Pendidikan Guru.

1. SYARAT DAN KELAYAKAN ASAS
1.1 Kewarganegaraan
Pemohon mestilah warganegara Malaysia pada tarikh iklan disiarkan.
1.2 Umur
a. Umur tidak melebihi 35 tahun.
1.3 Kelayakan Akademik
a. Memiliki Ijazah Sarjana Muda atau setaraf dengannya daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) / Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan atau luar negara.
b. Memiliki ijazah yang diiktiraf oleh kerajaan.
c. Memiliki kepujian Bahasa Melayu di peringkat SPM/SPM(V) atau lulus kertas khas Bahasa Melayu di peringkat universiti/ IPTA tempatan yang diiktiraf. Prinsipal Bahasa Melayu di peringkat STPM boleh menggantikan kepujian Bahasa Melayu di peringkat SPM/SPM(V).

2. SYARAT TAMBAHAN
2.1 Calon Kursus Perguruan Lepas Ijazah (Sekolah Rendah) j-QAF Mode Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah hendaklah memiliki ijazah sama ada dalam bidang Pengajian Islam atau Pengajian Bahasa Arab atau al-Quran atau bidang yang berkaitan.
2.2 Calon yang memohon hendaklah sihat tubuh badan, tidak mengidap apa-apa penyakit mental atau fizikal yang teruk, dan berupaya mengikuti program-program yang dirangka untuk kursus ini.
2.3 Calon yang berjaya dan ditawarkan kursus mestilah menunjukkan ijazah (skrol) semasa pendaftaran di Institut Pendidikan Guru.

3. CALON YANG TIDAK LAYAK MEMOHON
3.1 Calon yang telah memiliki kelayakan ikhtisas perguruan seperti Ijazah dengan Pendidikan, Diploma Pendidikan, Diploma Perguruan atau Sijil Perguruan.
3.2 Calon yang masih lagi terikat dengan kontrak perkhidmatan agensi kerajaan termasuk yang sedang mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah (Sekolah Rendah) j-QAF mode Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah atau Kursus Dalam Cuti.
3.3 Calon yang pernah meletak jawatan dalam perkhidmatan kerajaan.
3.4 Calon yang pernah dikenakan tindakan tatatertib atau sedang dalam proses dakwaan tindakan tatatertib.
3.5 Calon yang pernah dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
3.6 Calon yang pernah disabit dalam kesalahan penyalahgunaan dadah atau jenayah.
3.7 Calon yang mengidap penyakit kronik

4. BIDANG PENGAJIAN YANG DITAWARKAN
4.1 KURSUS PERGURUAN LEPAS IJAZAH (SEKOLAH RENDAH) SEPENUH MASA

1 A110M0000P Bahasa Melayu
2 A110E0000P Bahasa Inggeris
3 A110C0000P Bahasa Cina
4 A110C0M00P Bahasa Cina (Sekolah Kebangsaan)
5 A110T0000P Bahasa Tamil
6 A110T0M00P Bahasa Tamil (Sekolah Kebangsaan)
7 A111M0000P Matematik
8 A111S0000P Sains
9 A114K0000P Kemahiran Hidup
10 A115A0000P Pendidikan Agama Islam
11 A116C0000P Kajian Sosial
12 A116J0000P Pendidikan Jasmani
13 A116V0000P Pendidikan Seni Visual
14 A117B0000P Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran
15 A117C0000P Pemulihan
16 A117K0000P Bimbingan
17 A117M0000P Pendidikan Muzik

4.2 KURSUS PERGURUAN LEPAS IJAZAH (SEKOLAH RENDAH) j-QAF MODE LATIHAN PERGURUAN BERASASKAN SEKOLAH

1 A210A0000L Bahasa Arab
2 A215A0000L Pendidikan Islam
3 A217B0000L Pendidikan Islam Pendidikan Khas j-QAF

5. CARA MEMOHON
5.1 Permohonan untuk mengikuti program ini hanya boleh dibuat secara Aplikasi Dalam Talian (on-line) sahaja. Calon dikehendaki merujuk e-Panduan Permohonan terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan melalui laman web Kementerian Pelajaran Malaysia

5.2 Permohonan Dalam Talian hanya boleh dibuat dengan menggunakan nombor Pengenalan Individu (PIN) yang boleh dibeli di Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara Calon atau wakilnya hendaklah membawa bersama kad pengenalan atau salinan kad pengenalan calon untuk membeli nombor PIN ini.

5.3 Gunakan nombor PIN yang sama untuk membuat pindaan butiran kepada permohonan yang telah dihantar. Pindaan butiran permohonan dihadkan tiga kali sahaja dan hendaklah dibuat sebelum tarikh tutup permohonan. Nombor PIN ini juga digunakan untuk membuat semakan keputusan permohonan.

6. MAKLUMAN DAN PERHATIAN
6.1 Pemohon dibenarkan menghantar satu permohonan sahaja.
6.2 Calon yang memenuhi syarat dan kelayakan asas untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah diwajibkan menduduki Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia (Malaysian Teacher Selection Test – MTeST) dan menghadiri temu duga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

6.3 Maklumat mengenai panduan dan status permohonan boleh di dapati di laman web Kementerian Pelajaran Malaysia

6.4 Calon yang dipanggil menduduki MTeST dikehendaki mencetak Tiket Panggilan Ujian daripada internet dan dibawa bersama semasa ujian.

6.5 Calon yang layak dipanggil temu duga dikehendaki mencetak Surat Panggilan Temu Duga, Lembaran Pernyataan Hasrat, dan Borang Butiran Diri daripada internet. Borang Butiran Diri dan Lembaran Pernyataan Hasrat yang telah diisi dan dilengkapkan hendaklah dibawa bersama-sama dengan dokumen-dokumen lain pada hari temu duga. Bahagian Pendidikan Guru tidak akan mengeluarkan makluman secara bersurat kepada calon

6.6 Calon yang sedang berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia atau badan berkanun dikehendaki membawa surat pengesahan Ketua Jabatan semasa temu duga.

6.7 Calon yang berjaya ditawarkan kursus akan menerima surat tawaran rasmi semasa melapor diri di Institut Pendidikan Guru yang ditetapkan.

6.8 Program Kursus Perguruan Lepas Ijazah (Sekolah Rendah) j-QAF Mode Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah dijalankan secara penempatan terus di sekolah rendah dan pengajian latihan perguruan akan dijalankan di Institut Pendidikan Guru yang ditetapkan semasa cuti persekolahan. Tempoh pengajian adalah selama 18 bulan dan berkhidmat di sekolah berkenaan tidak kurang daripada tiga tahun selepas tamat pengajian.

6.9 Maklumat permohonan yang tidak lengkap atau tidak benar, boleh mengakibatkan permohonan ditolak.

6.10 Calon adalah dinasihatkan supaya terlebih dahulu membuat semakan kepada status kelayakan ijazah yang diiktiraf oleh kerajaan dengan melayari portal di alamat ini.

7. PENDAFTARAN
Calon yang ditawarkan tempat mengikuti kursus ini akan mendaftar di Institut Pendidikan Guru yang ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tarikh yang akan ditetapkan. Calon yang telah ditemu duga dan tidak menerima sebarang maklumat dalam tempoh satu (1) bulan selepas tarikh pendaftaran di Institut Pendidikan Guru adalah dianggap tidak berjaya. Bahagian ini tidak akan mengeluarkan maklumat secara bersurat kepada calon.

8. IKATAN PERJANJIAN PENDIDIKAN GURU
Calon yang ditawarkan mengikuti kursus di Institut Pendidikan Guru adalah tertakluk kepada ikatan Perjanjian Pendidikan Guru seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Calon hendaklah bersetuju dan patuh dengan kontrak perjanjian untuk berkhidmat di mana-mana sekolah atau institusi pendidikan seperti yang diarahkan oleh pihak kerajaan setelah tamat berkursus.

9. ALAMAT BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU, KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
Sebarang pertanyaan berkaitan dengan permohonan di atas, sila hubungi alamat berikut:

Bahagian Pendidikan Guru
Paras 3, Blok E13, Parcel E
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 Putrajaya
(u.p: Unit Pengambilan dan Penempatan Pelajar )
Nombor Telefon : 03-88841233
03-88841235
03-88841243
03-88841245
03-88841252
03-88841260

Urus Setia Bahagian Pendidikan Guru
Cawangan Sabah
d/a Institut Perguruan Gaya
88300 Kota Kinabalu, Sabah
Nombor Telefon : 088–236804

Urus Setia Bahagian Pendidikan Guru
Cawangan Sarawak
Jalan Kolej
93250 Kuching, Sarawak
Nombor Telefon : 082 – 258045

B. KESESUAIAN IJAZAH DENGAN BIDANG PENGAJIAN

Berikut adalah contoh kesesuaian ijazah dengan bidang pengajian yang ditawarkan:

1. BIDANG PENGAJIAN KPLI BAGI SEKOLAH RENDAH (Jadual A)
Bil Twr Kod Bidang Kesesuaian Ijazah
1. A110M0000P Bahasa Melayu
Pengajian Bahasa Melayu dan Kesusasteraan / Bahasa Malayu dan Linguistik / Bahasa Melayu dan Liguistik / Linguistik

2. A110E0000P Bahasa Inggeris
Pengajian Inggeris / English Literature
atau
Pemohon yang memiliki Ijazah dari universiti dalam atau luar negara yang menggunakan pengantar Bahasa Inggeris dengan syarat memiliki sekurang-kurangnya kepujian C5 bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat SPM.

3. A110A0000P Bahasa Arab
Pengajian Bahasa Arab / Kesusasteraan Arab

4. A110C0000P Bahasa Cina
Pengajian Bahasa Cina / Bahasa Mandarin / Kesusasteraan Cina

5. A110T0000P Bahasa Tamil
Pengajian Bahasa Tamil / Kesusasteraan Tamil

6. A111M0000P Matematik
Matematik / Statistik / Aktuari
atau
Calon yang memiliki ijazah lain, mesti mempunyai kepujian C6 dalam mata pelajaran Matematik Tambahan di peringkat SPM atau lulus pangkat C dalam Matematik peringkat Matrikulasi / STPM.

7. A111S0000P Sains
Sains (Fizik / Kimia / Biologi), Kejuruteraan (Awam / Elektrik / Mekanikal)

8. A114K0000P Kemahiran Hidup
Pembangunan Manusia / Sains Pertanian / Perdagangan / Teknologi Kejuruteraan

9. A115Q0000P Pendidikan Al-Quran
Shahadah Takhasus Qiraat, Mesir / Al Qur’an dan As Sunnah

10. A115A0000P Agama Islam
Syariah / Usuluddin / Pengajian Islam / Al Qur'an dan Sunnah

11. A115M0000P Pendidikan Moral Ilmu Kemasyarakatan / Sains Kemanusiaan

12. A117B0000P Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran
Pengajian Pendidikan Khas / Sains Kognitif / Psikologi / Biologi

13. A117C0000P Pemulihan
Pengajian Pendidikan Khas / Sains Kognitif / Psikologi / Biologi / Matematik / Ijazah Umum

14. A117L0000P Pendidikan Khas Masalah Penglihatan
Pengajian Pendidikan Khas / Sains Kognitif / Psikologi / Biologi

15. A117D0000P Pendidikan Khas Masalah Pendengaran
Pengajian Pendidikan Khas / Sains Kognitif / Psikologi / Biologi

16. A117P0000P Pendidikan Prasekolah
Pendidikan Awal Kanak-kanak / Psikologi Kanak-kanak / Psikologi / Psikologi Kaunseling / Sains Kognitif / Biologi

17. A117M0000P Pendidikan Muzik
Seni Muzik / Persembahan

18. A116J0000P Pendidikan Jasmani
Sains Sukan / Pendidikan Jasmani dan Kesihatan
atau
Calon yang cergas dan aktif sukan dan permainan

19. A116V0000P Pendidikan Seni Visual
Seni Lukis / Seni Halus / Seni Grafik / Seni Lukis dan Seni Reka

20. A116C0000P Pengajian Sosial
Geografi / Geologi / Geoinformatik / Sejarah / Sejarah dan Tamadun / Perhubungan Antarabangsa / Kajian Antarabangsa

21. A117K0000P Bimbingan
Kaunseling

2. BIDANG PENGAJIAN KPLI SR j-QAF MODE LPBS BAGI SEKOLAH RENDAH (Jadual B)

Bil Twr Kod Bidang Kesesuaian Ijazah
1. A210A0000L Bahasa Arab Pengajian Bahasa Arab / Kesusasteraan Arab
2. A215A0000L Agama Islam Syariah / Usuluddin / Pengajian Islam / Al Qur’an dan Sunnah
3. A217B0000L Pemulihan j-QAF Pengajian Bahasa Arab / Kesusasteraan Arab / Syariah / Usuluddin / Pengajian Islam / Al Qur’an dan Sunnah

C. STRUKTUR PROGRAM

1. Tempoh Pengajian
a. KPLI Penuh Masa
Tempoh pengajian bagi program ini ialah satu tahun iaitu dua semester. Calon-calon yang berjaya terpilih akan ditempatkan di mana-mana institut pendidikan guru di seluruh Malaysia. Setelah tamat pengajian dengan jayanya, calon akan ditempatkan di sekolah seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

b. KPLI SR j-QAF Mode LPBS
Tempoh pengajian bagi program ini ialah lapan belas bulan iaitu tiga semester. Calon-calon yang berjaya akan ditempatkan terus di sekolah rendah terpilih di seluruh Malaysia dan latihan perguruan akan dijalankan semasa cuti persekolahan.

2. Sukatan Pengajian Bagi Komponen dan Mata Pelajaran
* Komponen dan mata pelajaran KPLI adalah seperti berikut:

KOMPONEN MATAPELAJARAN
Asas Dinamika Guru
1. Bahasa Melayu Kini
2. Pengurusan Sumber (Teknologi Maklumat & Komunikasi, Teknologi Pendidikan & Sains Perpustakaan)
3. Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral
4. Tamadun Islam
5. Pendidikan Negara Bangsa Malaysia
6. Pendidikan Alam Sekitar
7. Bina Insan Guru
Pengetahuan & Ketrampilan Profesional 8. Ilmu Pendidikan
Pengetahuan & Ketrampilan Pengkhususan 9. Mata Pelajaran Major
10. Mata Pelajaran Minor
Gerak Kerja Kokurikulum
11. GERKO
Pengurusan GERKO
Unit Beruniform dan Sukan
Praktikum
12. Latihan Amali

3. Komponen dan Mata Pelajaran bagi KPLI SR j-QAF
Komponen pengajian untuk program ini adalah seperti berikut :

Pengajian Komponen
j-QAF Kemahiran Jawi
Pengajian Al Qur’an
Pengajian Bahasa Arab
Fardhu Ain

* Komponen dan mata pelajaran KPLI SR j-QAF adalah seperti berikut:

KOMPONEN MATA PELAJARAN
Pengajian Asas
1. Bahasa Melayu Komunikasi
2. Bahasa Inggeris Komunikasi
3. Seni Dalam Pendidikan
4. Pengurusan Sumber
5. Penyuburan Diri Insan Guru
Pengajian Profesional
6. Ilmu Pendidikan
Pengajian Kurikulum Persekolahan
7. Mata Pelajaran Major
8. Mata Pelajaran Minor 1
9. Mata Pelajaran Minor 2
Kokurikulum
10. Kokurikulum
Pengurusan Kokurikulum
Unit Beruniform
Sukan
Praktikum
11. Latihan Amali

4. Elaun Kursus
Semua calon yang mengikuti program KPLI akan dibayar elaun sebanyak RM 1377 sebulan.
(*Tertakluk kepada perubahan)

5. Ikatan Perjanjian Pendidikan Guru
Calon yang telah menyempurnakan kursus adalah tertakluk dengan Ikatan Perjanjian Pendidikan Guru.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails