Friday, November 23, 2012

TERUS KOMITED MEMPERJUANGKAN SUARA MAHASISWA DI FPI

Dekan Bersama Mahasiswa

Pada hari Rabu 21 November  2012, satu perjumpaan telah diadakan antara dekan Prof. Dr. Mohd Nasran Mohamad bersama MPP Mohd Khamis bin Mohamad Sani dan YDP PMFPI Rasyid bin Ismail di pejabat dekan. Perjumpaan ini diadakn begi menyuarakan suara mahasiswa melalui MPP.

   Dalam perjumpaan ini, YDP PMFPI Rasyid Ismail telah membentangkan mengenai  pembawakan biah solehah di Fakulti Pengajian Islam. Beliau mengatakan walaupun pelajar-pelajar mempelajari mengenai Islam itu sendiri, walaubagaimanapun terdapat juga pelajar-pelajar yang memandang ringan dan tidak memahami biah solehah itu secara mendalam, apatah lagi mahu mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.  Seperti yang dilihat sekarang mengenai pemakaian sama ada wanita mahupun lelaki yang semakin dipandang remeh oleh pelajar. Begitu juga dengan akhlak pelajar dengan pensyarah, kawan-kawan dan alam sekitar. Oleh yang demikian, biah solehah ini perlu diwujudkan di Fakulti Pengajian Islam. Untuk melaksanakan biah solehah ini, 3 strategi akan digunakan iaitu pembangunan fizikal, kempen dan sahifah biah solehah. Prof Dr. Nasran menyambut baik biah solehah ini dan akan bersama-sama berusaha membantu untuk menjayakannya. 
                Seterusnya MPP Ustaz Mohd Khamis mengutarakan mengenai isu akademik iaitu mengenai Latihan Industri FPI(praktikal). Seperti yang diketahui, pelajar FPI akan menjalani LI pada tahun 2 semester 4, bukannnya pada tahun akhir pembelajaran. Hal ini menyebabkab kebolehpasaran pelajar FPI Universiti Kebangsaan Malaysia adalah lebih kurang berbanding IPTA lain di Malaysia. Lebih-lebih lagi, tempoh pengajian untuk FPI hanyalah selama 3 tahun. Untuk meningkatkan kebolehpasaran atau kualiti pelajar tersebut, MPP mencadangkan supaya tempoh pengajian di naikkan lagi kepada 4 tahun dan Latihan Industri akan dijalankan pada tahun akhir pengajian.
 
                Selain daripada itu, turut dibincangkan mengenai kemudahan-kemudahan di FPI misalnya kemudahan di Singgahan Ilmu, perpustakaan dan sebagainya. MPP dan PMFPI akan berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada mahasiswa khususnya di Fakulti Pengajian Islam. Respon yang diterima daripada dekan sangat memberangsangkan dimana beliau sangat mengalu-alukan maklumat secara direct daripada pelajar. Solusi yang telah dipersetujui  daripada perjumpaan ini, satu perjumpaan akan diadakan oleh dekan bersama kepimpinan persatuan dan kelab-kelab di Fakulti Pengajian Islam.

SETITIS AIR DAN SI BURUNG KECIL

Kisah Nabi Ibrahim A.S. Dibakar Oleh Raja Namrud Dengan Api Besar

Melihat api besar itu, seekor burung kecil segera mengambil air dengan paruhnya yang kecil lalu dititiskannya ke atas nyalaan api besar itu.
Perbuatan burung kecil itu ditertawakan oleh burung-burung yang lebih besar.
"Apa gunanya air yang setitis itu?" Burung besar menyindir.
"Untuk memadamkan api yang membakar kekasih ALLAH, Nabi Ibrahim," jawab burung kecil.
"Ha..ha..ha usaha yang sia-sia! Adakah api yang sebesar itu mampu dipadamkan oleh setitis air?" ejek burung besar lagi.
Anda tahu apa jawapan burung kecil? Jawapannya begini:
"Aku yakin bahawa ALLAH tidak akan bertanya kepadaku apakah dengan usahaku api itu berjaya dipadamkan, tetapi ALLAH pasti bertanya apa yang telah aku lakukan untuk memadamkan api."
Mendengar jawapan burung kecil itu, sekalian burung yang besar terdiam.
Ya, kalau kita umpama "si burung kecil" dalam usaha memerangi kekejaman Yahudi, siramlah walau "setitis air" untuk memadamkan keganasan.


Ayuh teman dan taulan! Kita teruskan perjuangan!
Berdoa dan teruskan Berdoa wahai sahabat perjuangan sekalian.
Ingat sahabat-sahabat perjuangan sekalian, Bukanlah bermakna Apabila ISRAEL mahu berdamai dengan PALESTIN ini bermakna kita boleh meletakkan 100 % kepercayaan kita kepada mereka. Ingatlah bahawa Israel tidak akan senang duduk selagi tidak dapat menawan GAZA .
Apakah bermakna, apabila dengarnya gencatan senjata ini, kita boleh berhenti memboikot baraangan-barangan Yahudi. Perjuangan kita belum selesai. Ingatlah bahawa Mukmin tidak akanterjatuh kedalam lubang biawak untuk kali kedua.
Carilah BUKTI &SAKSI keperihatinan kita terhadap nasib umat Islam dihadapan ALLAH nanti.
"Bila mana kemenangan itu semakin hampir maka semakin bertambahlah ujian, sehingga apabila muslimin itu sampai ke satu tahap ujian yang paling berat dalam hidup. Maka pasti datanglah pertolongan ALLAH pada satu masa keadaan yang tidak disangka-sangka oleh orang muslimin walaupun orang-orang kafir." 
{Pakar sejarah & pemikir Islam Dr Raghib As-Sarjani}

JOM SERTAI KAMI:


Moga-Moga  kita diampuni Allah di Padang Mahsyar...
PEDULIKAH KITA??? TEPUK DADA TANYA IMAN....!!! 


Thursday, October 11, 2012

TAHNIAH CHINESE COMMUNITY COUNCIL ( CCC )

Salam sejahtera buat mahasiswa mahasiswi sekalian

Tuan Zul Ajma bt Tuan Ahmad,wakil MPP UKM turun padang ke majlis Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Chinese Community Council (CCC) UKM jam 8.00 malam tadi. Tahniah kami ucapkan di atas 
amanat yang telah diberikan kepada ahli jawatankuasa yang telah dilantik. Semoga kuat dan semangat untuk meneruskan perjuangan anda.











BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI


.. Lead The Changes, BerGM Lebih Baik..

TRANSRENGIT : ADUAN MAHASISWA DITERIMA BAIK PIHAK TRANSRENGIT



10 Oktober 2012 – Dua Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM iaitu saudari Tuan Zul Ajma bt Tuan Ahmad dan Nur Afifah Abd Rahim telah mengadakan perbincangan bersama Pengerusi Eksekutif Syarikat Bas TransRengit, Encik Mahyudin Samihun.
 
Objektif perbincangan tersebut dilakukan adalah bagi mengemukakan aduan mahasiswa mahasiswi UKM mengenai perkhidmatan bas TransRengit. Selain itu, ia diadakan bagi mencapai kesepakatan dalam tindakan yang bakal diambil bagi menyelesaikan setiap isu yang dibincangkan.
 
Sebelum itu, kedua-dua MPP juga telah pergi ke pejabat urusan TransRengit di Shah Alam  bagi berbincang dengan pihak pengurusan namun begitu Pengerusi Eksekutifnya tidak berada di pejabat ketika itu. Oleh itu, kami telah mengatur pertemuan dengan Pengerusi Eksekutif di UKM  pada sebelah petangnya.
 
 MPP UKM bersama staf TransRengitdi Shah Alam

Menurut Encik Mahyudin, bas TransRengit di UKM dipantau sepenuhnya oleh penyelia bas Unit Kenderaan agar mengikut masa dan jadual perjalanan bas yang telah ditetapkan. Mengenai isu bas lambat, beliau menyatakan bahawa setiap bas yang bergerak dari KKM dan Za’ba akan mengambil masa setengah jam bagi setiap pusingan. Tiga bas pertama akan bergerak dari KKM dan Za’ba seawal jam 7.30 pagi.
 
Menurut Encik Mahyudin Samihun lagi, beliau cakna akan aduan mengenai pemandu bas yang memandu secara laju selain sikap mereka yang tidak berhemah ketika memandu. Aduan terhadap pemandu-pemandu bas tersebut akan diambil kira dan tindakan berbentuk amaran akan diberikan kepada mereka sebanyak dua kali. Ianya akan dilakukan sekiranya terdapat bukti yang mengesahkan aduan pelajar terhadap pemandu bas yang berkenaan. Sekiranya sabit kesalahan, tindakan dibuang kerja akan dikenakan terhadap pemandu bas tersebut.
  
Penyerahan surat aduan dan surat cadangan

Antara lain, terdapat beberapa inisiatif yang akan diambil oleh pihak pengurusan bas trans rengit bagi memberi perkhidmatan yang terbaik buat mahasiswa di UKM. Borang maklum balas mengenai keberkesanan perkhidmatan bas trans rengit akan dilancarkan oleh pihak TransRengit sendiri. Selain itu, pihak TransRengit akan menyediakan tag nama bagi setiap pemandu bas sebagai suatu inisiatif baru. Pihak TransRengit juga akan mengusahakan agar setiap bas TransRengit dilengkapi dengan system GPS bagi kelancaran pergerakan bas-bas di UKM.
 
Di akhir perbincangan, pihak pengurusan bas TransRengit akan menyediakan dokumen bertulis yang menyatakan dengan jelas tindakan selanjutnya yang bakal diambil oleh pihak mereka. Pihak TransRengit dan ahli MPP UKM turut bercadang untuk mengadakan perjumpaan berkala dalam memastikan perkembangan yang positif dari semua pihak.
 
 
 
MPP turun padang cuba merasai  masalah pengguna bas TransRengit
 
Mana-mana pelajar yang mempunyai masalah atau aduan berkenaan dengan berkhidmatan bas, diharapkan mencatat waktu kejadian, tarikh, tempat berlaku, nombor plat bas beserta dengan nama pengadu. Jika mahasiswa mempunyai kamera, anda bolehlah mengambil gambar dan menghantarnya kepada pihak kami. Pihak mereka juga mengharapkan agar apa-apa aduan terus berhubung dengan  En Mahyudin di talian 019-33724555.


Tuesday, June 5, 2012

SPEAKER CORNER : OPS KUNCI


“Kecaknaan Mahasiswa Menjamin Keharmonian Bersama”



24 Mei 2012- GMFPI UKM telah melancarkan speaker corner yang bertempat di depan kafeteria dan di sebelah kedai buku Penerbit UKM.

Speaker Corner kali ini menampilkan antara Ikon Muslimat Muda iaitu Saudari Tuan Zul Ajma bt Tuan Ahmad sebagai Exco Lajnah Ekonomi & Pemasaran yang mewakili ISIUKM. Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam , Saudara Mohd Rasyid Ismail juga turut sama berpidato, bagi menyatakan tanda sokongan bahawa isu keselamatan di UKM sangat dititik beratkan.


Saudari Tuan Zul Ajma Tuan Ahmad selaku wakil ISIUKM mengulas mengenai isu keselamatan siswi. Beliau menyatakan bahawa terdapat ramai siswi yang pulang lewat malam disebabkan oleh ketinggalan bas mahupun mesyuarat yang habis lewat. Hal ini telah menyebabkan mereka berjalan kaki sendirian untuk pulang ke kolej masing-masing. Keadaan ini agak merisaukan kerana terdapat pelbagai ancaman samada manusia berhati binatang mahupun haiwan liar.



Kerisauan ini berlandaskan kepada kes yang berlaku pada minggu lepas, iaitu seorang siswi yang keseorangan telah dikejar oleh seorang warga Indonesia berhampiran dengan masjid. Oleh itu, beliau telah menyarankan beberapa langkah keselamatan kepada rakan-rakan siswi :


  1. Pastikan tidak berjalan sendirian.
  2. Pastikan berteman dan teman tersebut sama jantina.
  3. Jika anda berjalan di sisi jalan, pastikan tidak memegang peralatan berharga seperti laptop, telefon bimbit, dompet dan sebagainya. Jika anda perlu memegangnya, pastikan barang tersebut berada di tangan yang tidak bersebelahan dengan jalan.
  4. Jika anda balik lewat malam pastikan ada orang yang menghantar anda pulang.


Akhir sekali beliau mengesa agar semua mahasiswa agar cakna dengan keselamatan samada terhadap diri sendiri, harta awam dan rakan-rakan kampus. Moga keprihatinan mahasiswa terhadap isu keselamatan ini akan mengurangkan kes-kes yang ada sekarang.



Sementara itu, Mohd Rasyid bin Ismail (YDP PMFPI) turut mengupas tentang isu keselamatan di UKM yang semakin membimbangkan. Antaranya ialah , kecurian motosikal dan laptop yang berlaku disekitar kampus melibatkan pelajar dan para pensyarah.



Beliau turut menyatakan resolusi yang sudah dibincangkan bersama PMUKM iaitu :



  • Mengetatkan kawalan keluar dan masuk ke dalam kawasan kampus di pintu-pintu masuk UKM ( tindakan daripada WISMA AMAN)
  • Mengadakan rondaan keselamatan ditempat-tempat yang berisiko berlakunya kes kecurian. ( tindakan daripada WISMA AMAN)
  • Mewujudkan sistem pendaftaran barangan elektronik pelajar, khususnya laptop.
  • Menambah baik sistem pencahayaan lampu jalan di sekitar UKM.
  • Memasang grill di pintu-pintu bilik setiap kolej.
  • Mewujudkan kawasan parking berpalang di setiap fakulti.


Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau mengharapkan kerjasama seluruh mahasiswa/i dalam membanteras masalah ini terutamanya apabila kes-kes ini berlaku dihadapan mereka dengan bertindak segera melaporkannya kepada pihak WISMA AMAN. Di samping itu juga, mahasiswa/i perlu memberikan partisipasi yang penuh terhadap segala program-program yang dianjurkan oleh PMUKM bagi membendung masalah kecurian ini. Sekian.




"Jom semua, jaga keselamatan diri dan harta benda

daripada menjadi mangsa kecurian."

Thursday, May 31, 2012

Selamat Menduduki Peperiksaan



Salam Imtihan Daripada Kami GMFPI. Tidak ada manusia merancang untuk gagal, yang ada hanyalah manusia yang gagal untuk merancang, hendak seribu daya, dimana ada kemahuan disitu ada kejayaan. Jangan direnung letihnya usaha tapi renunglah manisnya sebuah kejayaan. 

Wednesday, March 14, 2012

Walk For Election 2012 (W4E'12)


GMUKM tampil berbeza, anjur W4E'12

Bangi, 9 Mac - Majlis Tertinggi Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) hari ini telah bersetuju untuk menganjurkan satu 'smart mob' dengan mengadakan satu himpunan besar-besaran mahasiswa yang diberi nama "Walk For Election 2012" (W4E'12)

Program yang bertujuan membangkitkan momentum dan 'mood' pilihanraya kampus (PRK) yang dijangka berlangsung bila-bila masa dari sekarang.

Bertemakan 'Kami Sayang UKM' , Majlis Tertinggi GMUKM meletakkan dua matlamat asas bagi penganjuran W4E'12 ini iaitu;


i- Memberikan kesedaran kepada seluruh warga kampus UKM tentang kepentingan proses demokrasi berjalan dengan telus dan berintegriti tanpa kepentingan mana-mana pihak
ii- Memberikan didikan politik nilai yang sewajarnya berlangsung dalam dunia politik kampus; dengan mengenepikan fahaman politik yang sempit dan bersifat berat sebelah.

Program yang dijadualkan berlangsung pada hari Khamis sesuai dengan Hari UNGU GMUKM turut bercadang menjemput seluruh persatuan pelajar dalam UKM agar turut bersama-sama menyertai program "Walk For Election" ini tanpa mengira fahaman atau ideologi masing-masing.

Nantikan pengumuman-pengumuman penting berkaitan perjalanan W4E'12 ini yang pasti menarik perhatian anda dalam sedikit masa lagi.

Kami Sayang UKM

Wednesday, March 7, 2012

Dialog Bersama MPP FPI




Dialog Bersama MPP FPI

Khamis,1 Mac 2012- Gabungan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (GMFPI) telah menganjurkan satu dialog bersama MPP FPI di singgahan ilmu bagi memberi ruang dan peluang untuk warga Fakulti Pengajian Islam berinteraksi dengan MPPFPI iaitu Saudara Muhammad Ikram bin Darus. Turut bersama ialah Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam iaitu Saudara Wan Muhammad Naif bin Mohd Nordin dan dikendalikan oleh Saudara Khairul Hidayat (Bob Carol) yang merupakan exco kebajikan KUFFAH selaku moderator.



Q 1: Apakah PMUKM kepada mahasiswa dan peranan MPP FPI terhadap FPI?



Saudara Muhammad Ikram bin Darus memulakan bicaranya dengan mengulas mengenai tanggungjawab yang digalas oleh beliau selaku MPP FPI yang berada di dalam kepimpinan PMUKM kali ini. Beliau menyatakan bahawa kepimpinan ini merupakan tanggungjawab yang perlu digalas melalui pemilihan mahasiswa/i UKM dalam Pilihan Raya Kampus yang lalu. Kepimpinan PMUKM komited membawa suara mahasiswa/i dengan menjadikan tiga elemen berikut sebagai teras iaitu, kebajikan mahasiswa, keilmuan dan keintelektualan serta penghayatan falsafah UKM.



Q 2: Apakah peranan dari PMFPI yang wujud di samping MPP FPI?



Mengulas mengenai peranan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI), Saudara Wan Muhammad Naif menjelaskan bahawa Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) bergerak seiring dengan MPPFPI bertujuan untuk menjaga kebajikan mahasiswa/i Fakulti Pengajian Islam. PMFPI semenjak penubuhannya komited melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bagi membentuk mahasiswa/i yang mempunyai keintelektualan serta berkemahiran dalam pelbagai bidang seperti sukan dan sebagainya. Sehingga kini, PMFPI dibantu oleh kelab-kelab jabatan serta MPP FPI komited membawa isu-isu yang berkait dengan mahasiswa/i Fakulti Pengajian Islam terutamanya kebajikan.



Q 3: Apakah penjelasan mengenai manifesto setelah setahun berlalu?



Saudara Muhammad Ikram turut memberi penerangan mengenai gerak kerja yang telah dilaksanakan sepanjang berada di dalam kepimpinan PMUKM mewakili Fakulti Pengajian Islam. Beliau mengulas lanjut mengenai kronologi tindakan yang dilakukan bagi menjayakan manifesto beliau iaitu menyediakan R.O Water dan mesin fotostat di Fakulti Pengajian Islam. Bagi menjelaskan persoalan yang berlegar-legar di pemikiran mahasiswa/i mengenai perkembangan gerak kerja yang telah dilakukan, penerangan turut dilakukan melalui fb dan blog GMFPI.



Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, perkembangan manifesto ini boleh dirujuk di:

http://kerajaanfpi.blogspot.com/2012/02/kronologi-manifesto-mpp-fpi.html.



Q 4: Apakah peranan PMFPI dalam membantu MPP FPI merealisasikan manifesto?



Bagai aur dan tebing. Sebagai sebuah persatuan yang menaungi mahasiswa/i Fakulti Pengajian Islam, PMFPI berganding bahu bersama MPP FPI bagi melaksanakan hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan mahasiswa terutamanya melibatkan fakulti. PMFPI juga berperanan menyalurkan terus masalah kebajikan mahasiswa yang perlu diselesaikan di peringkat pentadbiran UKM kepada MPP. Dalam usaha untuk merealisasikan manifesto, MPP dan PMFPI bekerjasama dalam berurusan dengan pihak kedekanan antaranya turut bersama MPP membawa pembekal (supplier) berjumpa dengan pihak kedekanan bagi mewujudkan mesin fotostat di FPI. Di samping itu, PMFPI juga menjadi agen penerangan bagi pihak MPP kepada mahasiswa terutamanya perkembangan manifesto.



Q 5: Isu semasa



Mengulas mengenai isu hukum hudud di Malaysia, saudara Muhammad Ikram menyatakan bahawa mahasiswa mesti mengambil tahu isu semasa dengan melihat dari pandang sisi Islam iaitu bertepatan dengan al-Quran dan al-Hadith. Sementara itu, Saudara Wan Muhammad Naif pula menyatakan bahawa hukum hudud adalah ketetapan Allah dan di dalam al-Quran jelas menyatakan hudud terhadap zina, mencuri dan sebagainya. Ia turut disokong oleh hadith Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w pernah menyatakan,’’ Sekiranya yang mencuri ialah Fatimah binti Muhammad, nescaya akan kupotong tangannya. Demikianlah, Rasulullah s.a.w begitu menegakkan keadilan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.



Dialog bersama MPP yang dianjurkan kali ini merupakan satu program penerangan maklumat kepada mahasiswa/i FPI sekaligus membina hubungan baik serta interaksi antara MPP FPI dan mahasiswa/i FPI khususnya. GMFPI merakamkan ucapan jutaan terima kasih di atas segala sokongan, nasihat dan penglibatan mahasiswa/i sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.



Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti ~ Ber GM lebih baik~

Monday, February 20, 2012

..::: KRONOLOGI MANIFESTO MPP FPI :::...


KRONOLOGI MANIFESTO MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM TAHUN 1 dan 2



Assalamualaikum dan salam ‘Mahasiswa untuk Mahasiswa’. Pertamanya saya ingin mengucapkan Selamat Kembali ke Perbukitan Ilmu UKM kepada semua warga pelajar Fakulti Pengajian Islam khususnya. Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan nikmat dariNya kita masih diberi peluang meneruskan pengajian di Perbukitan Ilmu ini.

Sebagaimana yang diketahui keseluruhan mahasiswa Fakulti Pengajian Islam, saya Mohd Ikram bin Darus diberi mandat sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi Kerusi Tahun 1 dan 2 sesi 2010/2011 Fakulti Pengajian Islam bertanggungjawab untuk merealisasikan dua menifesto yang dibawa iaitu; menyediakan kemudahan Air Water Cooler dan Mesin Fotostat di Fakulti Pengajian Islam.

Untuk pengetahuan mahasiswa sekalian, sepanjang tempoh jawatan ini disandang, pelbagai usaha telah dilakukan bersama pihak pentadbiran untuk menjayakan manifesto ini. Berikut adalah kronologi pergerakan gerak kerja manifesto.


Menifesto 1 : Menyediakan kemudahan Mesin Fotostat di Fakulti Pengajian Islam

Merujuk kepada gambar rajah di atas, permohonan untuk meletakkan mesin fotostat di FPI mendapat kelulusan di peringkat Kedekanan FPI dan juga Bendahari UKM. Namun, umumnya sedar bahawa Fakulti Pengajian Islam mempunyai keluasan kawasan yang sangat terhad dan inilah yang menjadi masalah utama untuk meletakkan mesin fotostat. Pihak kami telah mengemukan beberapa cadangan tempat di Fakulti Pengajian Islam, sebagai contoh;

1. 1. 1 Bawah tangga aras 1 bersebelahan Singggahan Ilmu,

2. 2.2. Bilik stor Foyer Fakulti Pengajian Islam.

3. 3. Bersebelahan bilik kuliah DK2

Namun cadangan tempat ini ditolak kerana menimbangkan beberapa faktor seperti gangguan bunyi bising yang akan mengganggu urusan pembelajaran dan pembinaan semula tempat baru yang menelan belanja yang agak tinggi.

Saya sedar bergelar mahasiswa seperti anda semua, mesin fotostat merupakan suatu keperluan yang utama bagi kita dalam usaha menyiapkan tugasan-tugasan yang diamanahkan. Usaha telah dilakukan dengan komited namun hasilnya tidak memberangsangkan. Untuk itu di pihak MPP Fakulti Pengajian Islam, kami memohon maaf atas kesulitan ini.


Manifesto 2 : Menyediakan kemudahan Water Cooler

Permohonan dan perbincangan bersama Jabatan Pengurusan Pembangunan (JPP) UKM tidak memberikan kelulusan kerana perkhidmatan mesin Water Cooler sudah tidak dibenarkan untuk diletakkan di mana-mana lokasi di dalam UKM. Dengan ini, pihak MPP mengambil inisiatif untuk mengantikan Mesin Water Cooler kepada Mesin Air Pemanis dan Water Dispenser. Alhamdulillah Mesin Air Pemanis sudah ditempatkan di Foyer Fakulti Pengajian Islam. Untuk Water Dispenser, insyaAllah akan ditempatkan sama ada di Singgahan Ilmu ataupun di Foyer FPI untuk kemudahan Mahasiswa FPI. Berikut adalah bukti mesin air Permanis telah ditempatkan;


Sekian daripada saya, selaku Majlis Perwakilan Pelajara bagi Tahun 1 dan 2 Fakulti Pengajian Islam. Saya mengucapkan jutaan terima kasih di atas segala sokongan, nasihat dan penglibatan mahasiswa/wi semua samada secara langsung atau tidak langsung. Apa yang baik itu datang dariNya, dan apa yang buruk itu kelemahan diri ini sendiri.


Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti

~ BerGM Lebih Baik ~



Muhammad Ikram Bin Darus
Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pengajian Islam
Naib Presiden 4 Persatuan Mahaiswa Universiti Kebangsaan Malaysia
.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails