Tuesday, September 28, 2010

Mahkamah Tolak Saman UKM 4




Kuala Lumpur,28 September: Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman pemula empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencabar tindakan tatatertib universiti itu ekoran dakwaan terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor, April lalu.

Kesemua pelajar jurusan Sains Politik tersebut adalah Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Wong King Chai mencabar tindakan universiti itu yang mendakwa mereka bawah Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) dengan menghalang mereka daripada terlibat dalam aktiviti politik.

Selain menolak permohonan saman tersebut, Hakim Datuk Aziah Ali turut membuat keputusan membatalkan perintah injuksi sebelum itu yang menghalang UKM daripada mengambil tindakan terhadap mahasiswa terbabit.

Ekoran keputusan itu juga, keempat-empat mereka akan membuat rayuan injunksi bagi menghalang UKM meneruskan prosiding tatatertib ke atas mereka.

Hakim bagaimanapun menetapkan tarikh 7 Oktober ini untuk pendengaran penuh injunksi tersebut.

Mereka sebelum ini ditahan polis pada 22 April lalu di pekan Rasa dan Ampang Pecah berhubung tuduhan menyokong parti politik semasa pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Mereka kemudian didakwa di mahkamah UKM kerana melakukan kesalahan menyalahi undang-undang Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).

Bagaimanapun, mereka menafikan tuduhan itu dan mendakwa berada di Hulu Selangor bagi tujuan kajian penyelidikan akademik.

Sementara itu, lebih 50 mahasiswa berkumpul di perkarangan mahkamah bagi memberi sokongan moral kepada mereka.

Ber GM lebih baik...

Salam hormat,

Buat semua teman-teman, sempena Hari Keputusan Kes 'UKM4' pada hari esok, saya terbitkan kembali tulisan saya yang telah diterbitkan oleh LoyarBurok.com.

Harap bacaan ini membantu memperhebatkan lagi semangat juang kita.

http://www.loyarburok.com/human-rights/stupid-me/zaman-gelap-universiti-%E2%80%93-dihukum-kerana-menuntut-ilmu/

Terima kasih atas sokongan!

Hilman Idham.

GMFPI seru mahasiswa untuk turun beri sokongan

Bangi, 28 Sept: Seluruh mahasiswa sekali lagi diseru turun ke himpunan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, esok bagi mendengar keputusan perbicaraan kes empat pelajar sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kesemua mereka iaitu Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha, dan Wong King Chai ditahan polis pada 22 April lalu di pekan Rasa dan Ampang Pecah berhubung tuduhan menyokong parti politik semasa pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Mereka didakwa di mahkamah UKM kerana melakukan kesalahan menyalahi undang-undang Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).

Bagaimanapun, mereka menafikan tuduhan itu dan mendakwa berada di Hulu Selangor bagi tujuan kajian penyelidikan akademik.

Pengerusi Gabungan Mahasiswa fakulti Pengajian Islam, GMFPI mengambil pendirian untuk menyokong perjuangan empat orang mahasiswa berkenaan dan bersetuju untuk menyokong dan menganjurkan himpunan besar-besaran bersama Solidariti Mahasiswa malaysia (SMM),Pro Mahasiswa universiti malaya,Pro Mahasiswa Uiam dan Pro Mahasiswa UPM serta Pro Mahasiswa sekitar kampus lembah klang pada jam dua petang esok sebagai satu usaha menunjukkan kesatuan mahasiswa atas nama hak yang terkandung dalam perlembagaan.

"Pengerusi GMFPI mengharapkan agar seluruh mahasiswa, anak muda dan segenap warga Malaysia agar dapat sama-sama turun ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur esok untuk sama-sama kita dengar keputusan kes dan pada masa yang sama menyatakan sokongan untuk menolak penganiayaan yang telah dikenakan ke atas empat orang mahasiswa UKM ini," katanya dalam satu kenyataan.

Pihaknya juga berharap agar mahkamah sekali lagi mempamerkan keadilannya seperti yang ditunjukkan dalam kes lima mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang dibebaskan dari pertuduhan menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" yang ditujukan kepada isteri perdana menteri, Rosmah Mansor.

"GMFPI sekali lagi berharap kemenangan berpihak kepada mahasiswa seperti kemenangan kita pada 24 September lepas," katanya.

Tegasnya juga, mahasiswa tidak sewajarnya terus tunduk di bawah tekanan Auku.

"Auku sudah lama mencengkam mahasiswa. Hak kebebasan mahsiswa disekat. Saya berharap keputusan esok menjadi sinar baru buat mahasiswa.

"Saya juga menyeru mahasiswa untuk meneruskan gelombang kebangkitan mahsiswa dengan hadir untuk satu tujuan, menolak Auku dalam landskap hidup mahasiswa," katanya.


Ber GM lebih baik

Monday, September 27, 2010

Hilman Idham:- Zaman Gelap Universiti di Malaysia.



Selasa ini, tanggal 28 Sept, saya dan tiga orang teman sekuliah – King Chai, Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina akan hadir ke Mahkamah untuk mendengar sebutan kes dan kemungkinan besar keputusan akan di umumkan terus oleh Yang Arif hakim. Juga saya bawakan situasi dan keadaan zaman gelap kampus universiti di negara kita. Bagi saya ini suatu petanda buruk yang bakal meranapkan masa depan negara.
Ketika saya tahun satu, dengan harapan dan kesungguhan mendaftar ke kampus. apa yang saya cita-citakan adalah ke kampus untuk hadir kuliah, untuk turut aktif berpersatuan, untuk sertai diskusi-diskusi mingguan, dan untuk belajar dikritik dan mengkritik. Namun, saya tidak pernah puas dan selesa dengan keadaan kampus yang kuliahnya kosong dan retorik, anak mahasiswa yang aktif itu digelar pengganas, diskusi-diskusi mingguan itu hampir tiada, segala kehidupan direncanakan dan pensyarah itu alah sekali bila dikritik.

Bagi saya, inilah zaman gelap universiti. Dalam orasi itu saya sebutkan bahawa jawapan kepada kegelapan dan pembodohan itu adalah pencerahan. Pencerahan yang mana asasnya harus membebaskan. Bermula dengan pembebasan akal fikiran – yang mana dikatakan oleh Immanuel Kant sebagai perkara yang paling tidak memudaratkan. Maka pencerahan di kampus itu harus bermula dengan membebaskan pemikiran mahasiswa daripada proses pembodohan. Undang-undang dan peraturan zalim yang membentuk budaya selesa dalam ketidakmatangan – pembodohan itu harus terus dimansuh.

Selasa ini bakal jadi sejarah. Beberapa bulan yang lalu, saya digantung daripada jawatan Yang Di Pertua kelab Sains Politik. Selepas itu, sudah timbul isu bahawa Kelab Sains Politik yang saya asaskan itu dibubarkan. Apa yang berlaku adalah seakan suatu bentuk hukuman ke atas saya. Saya di hukum oleh universiti kerana saya aktif berpersatuan dan memegang jawatan Yang Di Pertua. Saya di hukum kerana mencari ilmu politik yang praktik di lapangan pilihan raya. Kelab Sains Politik dihukum dan dibubarkan kerana saya adalah Yang Di Pertua dan saya adalah pengasasnya.

Namun, jawapan yang mereka berikan adalah saya dihukum kerana saya terlibat dengan kempen politik, dan melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Tidak pula salah bagi segolongan pensyarah di kampus saya yang turut menyertai parti politik dan berpolitik secara terang-terangan walaupun golongan pensyarah ini turut termasuk dalam AUKU. Saya tidak katakan salah untuk pensyarah atau pentadbir ini juga turut menyertai parti politik. Malah saya turut menyokong penyertaan mereka. Lihat saja baru-baru ini, timbul suara pembaharu daripada beberapa pimpinan dalam partai pemerintah yang mahukan penyertaan guru, mahasiswa, dan pensyarah dalam politik kepartian itu dibenarkan.

Idea ini harus dilaksana segera supaya ia membebaskan anak muda, mahasiswa, guru dan pensyarah daripada belenggu pembodohan hegemoni sesetengah pihak. Terdapat juga anak mahasiswa yang lantang memperjuangkan agar jangan dibenarkan penyertaan politik ini berlaku seperti perjuangan sebuah kumpulan yang dinamakan ‘Kaukus Siswa Melayu UKM’ – kumpulan yang dilihat pro pentadbiran universiti. Mereka yang seakan sudah selesa dengan keadaan kampus sekarang.

Maka merekalah seperti yang dikatakan oleh Immanuel Kant sebagai golongan yang selesa dengan ketidakmatangan – pembodohan yang berlaku. Oleh kerana itulah mereka tidak mahu bebas dan berjuang mempertahankannya. Untuk saya, tidak ada yang lebih penting bagi menyelesaikan zaman gelap universiti ini melainkan percerahan yang bermula dengan pembebasan akal fikiran yang rasional. Masyarakat kampus ini harus dibiarkan bebas menggunakan akal fikiran sendiri. Mereka harus dibiarkan bebas merencana masa depan sendiri. Mereka juga perlu bebas untuk membuat pilihan.

Kebebasan inilah yang akan membuatkan mereka berani menggunakan kefahaman sendiri dan inilah tindakan yang bakal membawa pencerahan. Maka beranilah anak muda, masharakat kampus dan mahasiswa untuk menggunakan kefahaman sendiri – Sapare Aude!


Blog beliau boleh dilawati melalui : hilmanidham.org
Gabungan Mahasiswa UKM

UKM4 : Hari Penentu Masa depan AUKU dan Mahasiswa






Serasanya masih 'panas' lagi semangat, kegembiraan & inspirasi kemenangan yang diraih oleh 5 orang anak muda & mahasiswa Malaysia dalam perbicaraan kes "Bini Puaka" beberapa hari yang lepas.

Ianya secara hakikatnya telah memberikan satu simbol signifikan untuk kebangkitan gerakan mahasiswa & anak muda Malaysia di kancah sosial & politik. Ianya juga telah dilihat mampu untuk menggerakkan minda massa lainnya bahawa kerja-kerja kotor untuk menghalang kebangkitan kesedaran masyarakat tidak akan mampu bertapak sekalipun ianya didokong & dicatur tangan-tangan ghaib yang menguasai seluruh sistem di negara ini.

Justeru, sebagai satu usaha untuk melestarikan (continous) kebangkitan kesedaran terhadap perubahan khususnya di kalangan anak muda, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan mengadakan himpunan sempena bacaan keputusan perbicaraan 4 orang mahasiswa Sains Politik UKM yang telah bertindak untuk mencabar pertuduhan kes mereka di kampus. Untuk makluman semua, pertuduhan yang telah dikenakan ke atas mereka telah dibuat di bawah peruntukan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) selepas pindaan 2009.

Ianya juga secara tidak langsung merupakan perjuangan yang digerakkan mereka untuk mencabar keabsahan (validity) AUKU yang telah maklum oleh semua, terlalu banyak melanggar hak-hak mahasiswa sebagai warganegara Malaysia, khususnya dalam bab kebebasan berpolitik.

Oleh yang demikian SMM telah mengambil pendirian untuk menyokong perjuangan 4 orang mahasiswa ini & bersetuju untuk menganjurkan himpunan besar-besaran pada 28hb September ini, tepat jam 2 petang, sebagai satu usaha menunjukkan kesatuan kita atas nama penuntutan hak yang telah terkandung dalam perlembagaan.

Akhirnya, SMM mengharapkan agar seluruh mahasiswa, anak muda & segenap warga Malaysia agar dapat sama-sama turun ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta KUala Lumpur pada 28hb September ini untuk sama-sama kita dengar keputusan kes & pada masa yang sama menyatakan sokongan untuk menolak penganiayaan yang telah dikenakan ke atas 4 orang mahasiswa UKM ini.


"Independen, Intelektual, Integriti, Responsif, Progresif"

Thursday, September 23, 2010




Bersempena bulan Syawal yang mulia ini, Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) meneruskan agenda mendekati mahasiswa UKM dengan mengadakan Jamuan Raya GMUKM pada ;
Tarikh : 24 September 2010 (Jumaat)
Masa : 3.00 petang
Tempat : Sudut Pidato, Teres Ekoniaga

Semua mahasiswa-mahasiswi UKM dijemput hadir tanpa mengira bangsa dan agama! Lebih baik lagi jika semua hadirin berpakaian hari raya..

Ber-GM Lebih Baik!

Wednesday, September 22, 2010

SELAMAT KEMBALI MAHASIWA UKM

Gabungan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (GMFPI) mengucapkan selamat kembali ke kampus pebukitan ilmu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) setelah pulang bercuti menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung masing-masing selama seminggu.

Gabungan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam ( GMFPI) merasakan tidak terlewat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri,Maaf Zahir dan Batin kepada semua mahasiswa UKM khususnya Fakulti Pengajian Islam.

Mahasiswa dan mahasiswi sekalian,apabila pulangnya kita ke pembukitan ilmu UKM maka kita akan sibuk dengan hal-hal akademi seperti kuliah,tutorial,tugasan kuliah dan tutor serta banyak lagi.Pihak Gabungan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam ( GMFPI) juga ingin mengingatkan kepada mahasiswa sekalian bahawa azamlah dengan niat yang baik dalam kita menuntut Ilmu.Dengan itu juga,rancanglah kerja anda sebaik mungkin dan rancang masa anda antara kerja kuliah,kerla luaran dan kerja persatuan supaya anda tidak letih dan tidak "Pening " dalam soal pengurusan diri dan kerja anda.

Sekali lagi Gabungan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (GMFPI) mengucapkan kullu 'am wa antum bikhair dan selamat meneruskan sessi perkuliahan.

-BLOG GMFPI KEMBALI!!!!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails