Sunday, September 18, 2011

Hi Tea Bersama YB MPP FPI









~Sekitar program “Hi Tea Bersama YB MPP FPI''
SAUDARA MUHAMMAD IKRAM BIN DARUS




Bangi,15 September - Gabungan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (GMFPI) telah menganjurkan satu aktiviti pemimpin pelajar bertemu dengan mahasiswa Fakulti Pengajian Islam.Turut terlibat dalam program tersebut adalah Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pengajian Islam yang juga merupakan Naib Presiden 4 PMUKM 2010/2011 iaitu saudara Muhammad Ikram Bin Darus.

Program ini dinamakan “Hi Tea Bersama YB MPP FPI”.Gabungan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (GMFPI) menganjurkan program ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan MPP Fakulti Pengajian Islam kepada pelajar FPI khususnya pelajar tahun 1.Antara aktiviti yang dijalankan adalah sumbangan air kotak dan bungkusan makanan ringan kepada pelajar FPI.


“Terima kasih saya ucapkan kepada GMFPI dan saudara Ikram selaku MPP FPI,yang sudi bertemu dengan kami selaku mahasiswa FPI dan beramah mesra tanpa memerlukan majlis yang formal.Saya amat senang dengan MPP FPI kita.Terima kasih kepada beliau, ''ujar seorang mahasiswa FPI tahun 1.


Saudara Muhammad Ikram juga dibantu oleh beberapa orang majlis tertinggi GMFPI ketika menjayakan program tersebut.Walaupun tempoh program agak singkat iaitu bermula pada jam 12 tengahari dan berakhir pada jam 2 petang,tetapi beliau dapat beramah mesra dengan ramai pelajar FPI dan bertanyakan tentang permasalahan mereka.


“Saya amat gembira pada program santai tersebut kerana dengan cara ini tanpa memerlukan majlis yang formal saya boleh berjumpa dengan mahasiswa dan mahasiswi FPI dengan lebih dekat dan mesra.Dan saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada GMFPI kerana membantu dan menyokong saya dari belakang, serta tidak lupa juga kepada seluruh mahasiswa FPI yang telah memberikan dorongan dan semangat untuk terus memperjuangkan hak mahasiswa dan mahasiswi FPI,”ujar saudara Muhammad Ikram.


Kita amat berbangga dan gembira kerana program seperti ini dijalankan di FPI supaya wujud suasana ramah mesra antara mahasiswa dan pemimpin mahasiswa serta dapat mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim antara pelajar FPI semuanya.








Wednesday, September 7, 2011

Selamat datang mahasiswa baru 2011-2012

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera buat semua mahasiswa yang bakal mendaftar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pertama sekali saya selaku Pengerusi Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas di atas kejayaan saudara dan saudari mendapat tawaran melanjutkan pengajian di UKM bagi sesi pengajian 2011-2012.

Untuk makluman pada tahun ini sebanyak 41,267 buah tempat pengajian telah ditawarkan di 20 IPTA seluruh negara. Dan daripada jumlah tersebut hanya 2,860 buah tempat pengajian ditawarkan di 11 buah fakulti di UKM pada ambilan sesi kali ini.

Oleh hal yang demikian, saya secara peribadi amat berbangga di atas kejayaan saudara dan saudari yang bertuah kerana terpilih melanjutkan pengajian di universiti ketiga tertua di Malaysia selepas UM dan USM.



MERITOKRASI & TANGGUNGJAWAB MAHASISWA

Menurut maklumat yang diperoleh daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM), kaedah terbaru proses pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA adalah berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengambil kira komponen akademik 90% dan kokurikulum 10%. Maka di sini, kejayaan seseorang calon memperolehi tempat pengajian di IPTA bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian yang dipohon.

Justeru itu, kami di Gabungan Mahasiswa ingin mengingatkan bahawa dalam persaingan tempat ke IPTA tidak bergantung pada keputusan akademik semata-mata, dan perlu ditambahnilai(add-on) dengan penglibatan di dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum.

Memetik kata-kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut mengingatkan mahasiswa baru agar berusaha bersungguh-sungguh agar tercapai segala cita-cita dan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan di atas bahu mahasiswa-mahasiswi terlaksana. Juga diingatkan hanya mahasiswa yang memiliki jiwa besar, berfikiran matang dan berpandangan jauh mampu menyempurnakan tanggungjawab mereka dengan baik.

Mahasiswa-mahasiswi juga perlu disedarkan bahawa kita semua merupakan 'role model' kepada masyarakat. Saudara-saudari semua mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, persekitaran, ilmu yang dipelajari, negara bahkan dunia secara amnya. Tanggungjawab dan kewajipan ini adalah satu amanah yang mesti ditunaikan; bukan sekadar kita belajar dan menghadapi peperiksaan kerana ia merupakan syarat untuk bergraduasi.


PENGHAKUPAYAAN POTENSI ANAK MUDA

Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) juga bersetuju dengan pandangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Saifuddin bin Abdullah yang melontarkan permaknaan semula istilah 'penghakupayaan anak muda' (youth empowerment).

Banyak pihak menyebut tentang penghakupayaan anak muda atau belia tetapi, ramai masih tidak pasti dengan maknanya yang sebenar. Malahan telah timbul beberapa kekeliruan terhadap maknanya.

Sebab itulah penghakupayaan belia yang sebenar perlu difahami. Penghakupayaan belia bukan bermakna memberikan kuasa secara semborono kepada anak muda. Sebaliknya, ia adalah proses menyalurkan idealisme, aktivisme dan intelektualisme yang telah sedia dimilikinya.

Dalam mengamalkan penghakupayaan belia, semua individu dan organisasi yang berkaitan perlu bersedia untuk melakukan anjakan paradigma dari segi cara berfikir dan berbuat. Struktur dan hirarki berbau birokrasi perlu dikurangkan.

Kini, banyak anak muda yang disebut-sebut Generasi-Y (Gen-Y) khususnya di kalangan mahasiswa mempunyai pandangan dan inisiatif yang telah menjangkaui apa yang orang dewasa fikirkan.

Adalah diingatkan jika golongan dewasa gagal atau enggan menyelami minda anak muda, mereka akan rugi kerana akan ketinggalan zaman. Dan jika mereka halang percambahan minda anak muda, mereka juga akan rugi kerana anak muda akan meninggalkan jauh ke belakang gologan dewasa.

Maka dengan itu, Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) mengajak semua pihak supaya serius melihat, menerima dan mengiktiraf pandangan anak muda khususnya mahasiswa dengan pendekatan baru, atau dalam erti kata lain, "penghakupayaan" yang jujur dan benar.


PENUTUP

Sebagi penutup, suka diingatkan sejarah telah membuktikan kekuatan dan keampuhan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh sesebuah masyarakat mampu menundukkan kekuatan dan keutuhan masyarakat yang bergantung pada orang lain tanpa mengira kekuatan jumlah ahli masyarakat yang ada. Dengan ilmu pengetahuanlah yang berperanan besar dalam membina tamadun sesebuah negara dan bangsa.

Allah Ta'ala ada menjelaskan kepentingan ilmu pengetahuan ini menerusi firmannya dalam surah Al-Baqarah, Ayat 269 yang bermaksud,

Allah memberikan al-hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya dan sesiapa yang diberikan al-hikmah itu, maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil peringatan melainkan orang-orang yang menggunakan akal pemikirannya

Jelas Al-Quran membayangkan bahawa dengan ilmu pengetahuan (al-hikmah) yang diberikan oleh Allah itu, ia mampu memberikan kebaikan yang banyak kepada manusia khususnya yang memanfaatkannya. Semoga sama-sama kita dapat ambil manfaatnya.

Doa kami di GMUKM, sebagaimana pepatah yang acapkali kita dengari; "kalian datang dengan harapan, kalian pulang dengan kejayaan "

Selamat melangkah ke Universiti Kebanggaan Malaysia!


Ahmad Firdaus bin Ahmad Azam
Pengerusi Gabungan Mahasiswa UKM

Perutusan Aidilfitri 1432H & Hari Kebangsaan Presiden PMUKM

Assalamualaikum wbt.
الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Syukur ke hadrat Allah kerana kita berjaya menempuh bulan Ramadan al-Mubarak dengan penuh ketaatan dan ketekunan. Tiadalah hadiah kejayaan yang terlebih besar dan istimewa dari kejayaan memperoleh status takwa.

Nilai ketakwaan inilah yang akan membawa kita untuk terus beristiqamah dalam menyongsong perjuangan yang serba mencabar ini sebagaimana ayat 103 di dalam surah Al-Baqarah;

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu, supaya kamu bertakwa."
Jelas diperingatkan bahawa orang yang bertaqwa adalah mereka yang senantiasa mentaati perintah Allah dan amat takut untuk melakukan kejahatan.

Justeru semoga ‘Madrasah Ramadhan 1432’ yang baru kita lalui ini akan menjadi ikhtibar untuk kita meneruskan amalan yang baik yang dilaksanakan sepanjang Ramadhan.

AIDILFITRI HARI KEMENANGAN
Aidil Fitri adalah hari kebesaran kurniaan Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah Taala. Orang yang bertakwa adalah mereka yang senantiasa mentaati perintah Allah dan amat takut untuk melakukan kejahatan.

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar." (Al-Ahzab: 71)

MERDEKA DARIPADA HAWA NAFSU
Pada kali ini, kita menyambut bakal menyambut Hari Merdeka dalam suasana yang sedikit berbeza kerana ia jatuh pada waktu yang hampir sama dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Justeru, ayuh kita sambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-54 ini dengan pendekatan yang sedikit berbeza dengan kita merenung kembali apakah signifikasi peristiwa hari ini kepada kita, dan bagaimana setiap daripada kita ingin memainkan peranan.

Juga dengan berkat Aidil Fitri kali ini, kita dapat mentautkan kembali tali silaturrahim bersama jiran tetangga dan sahabat handai. Saya yakin kesempatan yang ada ini akan digunakan juga oleh rakan-rakan dari berbilang bangsa untuk meneruskan tradisi kunjung-mengunjung antara satu sama lain sementelah kita dalam 'mood' hari Merdeka.

Dan pada kesempatan ini, marilah sama-sama kita membaharui semangat untuk meningkatkan lagi kerja dan amal kita dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT, menguatkan ukhuwah, persaudaraan di kalangan kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga mereka tidak ada beza di antara satu sama lain.

Dan tidak ketinggalan untuk saya ucapkan selamat pulang berhari raya di negeri tercinta ini kepada rakan-rakan yang berada di perantauan.

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (Surah Ali Imran: 102)

الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر


Lt. Muda Ahmad Muzzammil Muhd Hairi
Presiden
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM)

GMUKM : Salam Merdeka & 1 Syawal


Assalamu'alaikum wbt.

Di kesempatan ini, kami di Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) dari kampus induk Bangi, Kuala Lumpur & Cheras ingin merakamkan ucapan selamat menyambut Hari Raya 'Idul Fitri & Hari Kemerdekaan ke-54 kepada semua rakan mahasiswa khususnya di UKM dan di universiti-universiti lain. Semoga ketibaan 1 Syawal yang dijangka esok hari diharapkan tidak mematikan semangat kita untuk mengejar lagi saki-baki ganjaran pahala yang masih bersisa di hari terakhir Ramadhan ini.

Gabungan Mahasiswa UKM juga ingin mengajak rakan-rakan agar kembali melakukan 'checklist ibadah' kita di bulan Ramadhan ini agar kita benar-benar telah memanfaatkan kesempatan yang ada pada kali ini. Ramdhan kali ini juga diharapkan kita bukan sekadar hanya menunaikan kewajipan berpuasa dan solat tarawih, tetapi juga kita menghadami dapat memanifestasikan falsafah ibadah-ibadah sunnat lain dan di akhirnya bulan Ramadhan ini dapat membentuk jatidiri kita yang kental untuk menggalas taggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi ini.

Juga diharapkan di hari-hari terakhir ini kita dapat menyembahkan ibadah kita kepada Al-Khaliq dengan sesempurna yang mungkin dengan harapan akan ada secebis amal yang diterima oleh-Nya.

Akhir sekali, diharapkan dengan tibanya 1 Syawal & 31 Ogos yang sangat-sangat bermakna ini kepada dimensi mahasiswa khususnya di UKM, mahasiswa akan terus menyokong kepimpinan PMUKM yang diterajui Lt.M Ahmad Muzzammil Muhd Hairi selaku Presiden PMUKM sejajar dengan motto kepimpinan kali ini, Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti.

Selamat Hari Raya 'Idulfitri & Selamat Hari Kemerdekaan 2011

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails