Sunday, November 20, 2011

PERKEMBANGAN MANIFESTO MPP FPI





Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada seluruh mahasiswa/i FPI.Terlebih dahulu saya ucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi FPI yang membantu gerak kerja Majlis perwakilan Pelajar Fakulti Pengajian Islam (MPP FPI). Saya ingin mengajak diri saya dan juga seluruh mahasiswa/i Fakulti Pengajian Islam bersyukur diatas kurniaan yang tidak terhingga oleh Rabbul jalil kepada kita sebagai hamba kepada-Nya.Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW kerana dengan perjuangan baginda dalam menyebarkan Islam,pada hari ini kita menikmati dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat iman dan Islam.



Pemberitahuan ini bertujuan untuk memaklumkan kepada seluruh mahasiswa/i Fakulti Pengajian Islam (FPI),berkenaan manifesto Majlis Perwakilan Mahasiswa FPI yang lepas iaitu penyediaan water cooler dan juga mesin fotostat di FPI. Pemberitahuan ini juga bertujuan untuk menjawab persoalan-persoalan yang bermain di fikiran seluruh mahasiswa/i FPI berkenaan manifesto tersebut.



Untuk pengetahuan seluruh mahasiswa/i FPI,selepas pilihanraya kampus yang lepas,saya telah menghantar surat permohonan untuk menyediakan water cooler dan mesin fotostat di FPI.Setelah dibincang perkara ini oleh pihak pentadbiran FPI,maka permohonan tersebut diluluskan.(Lihat surat kelulusan di lampiran)



1.Mesin Fotostat

Mesin fotostat merupakan keperluan bagi mahasiswa/i FPI. Justeru itu, setelah mengadakan perbincangan, saya dan pihak kedekanan FPI bersetuju untuk menyerahkan pengendalian ruangan mesin fotostat tersebut kepada Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) dengan berkonsepkan “one stop centre” di mana terdapat perkhidmatan fotostat, printing dan lain-lain perkhidmatan yang menjadi keperluan bagi mahasiswa/i FPI.Walau bagaimanapun, ia tidak dapat dijalankan kerana saya kemudiannya mendapat surat dari pihak penjanaan bendahari yang tidak bersetuju ruangan mesin fotostat ini dikendalikan oleh persatuan mahasiswa atas sebab-sebab tertentu. Antara permasalahan yang menghalang untuk meletakkan mesin fotostat di FPI yang berkonsepkan “one stop centre” adalah ruang yang terhad di FPI. Justeru itu, pihak saya sedang mencuba dan berbincang dengan pengurusan FPI untuk mendapatkan ruang yang sesuai di FPI.Saya juga sedang berusaha untuk mendapatkan pengusaha luar untuk menguruskan berkenaan ruangan perkhidmatan mesin fotostat di FPI.(Lihat lampiran surat dari pihak penjanaan bendahari UKM).



2.Water Cooler

Buat pengetahuan mahasiswa/i FPI, penyediaan water cooler sudah diluluskan oleh pihak FPI dan Unit Penjanaan bendahari. Pihak FPI juga telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pengurusan Pembangunan (JPP) untuk tindakan.Tetapi dukacita kerana tiada sebarang maklum balas dan tindakan dari pihak Jabatan Pengurusan Pembangunan (JPP) .Saya selaku MPP FPI berusaha sedaya upaya untuk memastikan penyediaan watercooler di FPI. Halangan yang berlaku adalah di peringkat pentadbiran JPP berikutan tiada sebarang maklum balas dan tindakan. Saya tidak akan berdiam diri jika keadaan terus begini dan insyaAllah akan memastikan ada tindakan dari pihak yang bertanggungjawab agar perkara ini dapat dilaksanakan.



Moga dengan pemberitahuan ini,mahasiswa/i FPI dapat mengetahui keadaan sebenar berkaitan perkembangan manifesto MPP FPI saudara Muhammad Ikram Bin Darus serta terjawab persoalan yang bermain dalam fikiran anda selaku mahasiswa/i FPI.

Sekian,Terima kasih.



“Bersama Mahasiswa Merealisasikan Varsiti”

Yang benar,

MUHAMMAD IKRAM BIN DARUS

Naib Presiden 4 PMUKM

Merangkap Majlis Perwakilan Pelajar

Fakulti Pengajian Islam

Universiti Kebangsaan Malaysia.




LAMPIRAN





Wednesday, October 12, 2011

Jangan Sesekali Menghina Ciptaan ALLAH


PERUTUSAN KHAS BUAT ASPIRASI KAMPUS UKM


Alhamdulillah segala puji dan puja terhadap Allah SWT atas limpahan kurnia-Nya pada dari hamba yang kerdil ini untuk menulis artikel ringkas ini buat Aspirasi UKM khususnya atau mana-mana individu yang cuba untuk membuat huru hara atau menghina ciptaan Allah SWT.



Saya amat terkilan dengan aspirasi kampus UKM (Nama FB) yang menyatakan kata-kata yang tidak sepatutnya mereka keluarkan dalam satu post FB yang mengakibatkan kemarahan ramai pihak pada aspirasi UKM yang kononnya menjujung aspirasi Universiti dan Nilai-nilai murni.Ini sangat bertentangan dengan apa yang mereka (Aspirasi) ingin bawakan bahkan menimbulkan kemurkaan Allah SWT.




Aspirasi Kampus UKM:"Sapa yang menipu? Bukan ke Abdullah si kudung yg menipu?

p/s: tulisan yang di kuningkan dalam gambar.



Apa yang ingin saya fokuskan dalam gambar diatas (Diambil dari FB seseorang) dalam group PMUKM 10/11 adalah berkaitan dengan post aspirasi Kampus UKM yang menghina fizikal semulajadi Timbalan Presiden PMUKM iaitu saudara Mohamad Abdullah Mohd Yusoff yang cacat sebelah tangan.Kami,Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI),MPP FPI iaitu Saudara Muhammad Ikram Bin Darus dan Gabungan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (GMFPI),Pensyarah-Pensyarah FPI,kakitangan FPI termasuk seluruh mahasiswa FPI amat terkilan dengan “mulut celupar” aspirasi Kampus UKM yang mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya di keluarkan oleh aspirasi Kampus UKM.Kami semua menuntut aspirasi UKM serta mana-mana individu yang terlibat untuk memohon maaf secara terbuka dan kembali bertaubat atas dosa yang telah dilakukan.

ISLAM MELARANG MENGHINA CIPTAAN ALLAH


Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) nencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” Al-Hujuraat ayat 11.


Sebab-sebab turun (asbabun nuzul):
Sebab turunnya bahagian awal ayat ini ialah bila sekumpulan sahabat dari bani Tamim mempersendakan Bilal, Salman dan Ammar yang kesemuanya adalah bekas hamba. Dalam ayat ini Allah (SWT) menegaskan kepada orang beriman bahawa di sisi Allah (SWT) Bilal, Salman dan Ammar adalah lebih mulia dari golongan yang mempersendakan mereka. Allah (SWT) tidak memandang asal keturunan mereka tapi pengorbanan mereka untuk agama-Nya.


Sebab turunnya bahagian “…dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk” dalam ayat ke-11 ini adalah sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Jubayrah ibn Ad-Dahhaak di mana satu ketika Rasulullah (SAW) pernah memanggil seorang sahabat dengan nama yang biasa beliau dipanggil, maka beberapa sahabat yang lain memberitahu Rasulullah (SAW) sebenarnya sahabat yang dipanggil itu tidak berapa menyukai panggilan tersebut. Maka bahagian ayat ini pun diturunkan tidak lama kemudian. Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud.


Pengajaran ayat:
Dalam ayat ke-11 ini Allah (SWT) menetapkan dua larangan dalam konsep persaudaraan dalam Islam.


1. Janganlah memandang rendah kerana sifat ini lahir dari perasaan riya’ dan ujub (bangga dan sombong serta menilai diri lebih tinggi dari orang lain dari sudut harta, pangkat, ilmu dan sebagainya). Namun begitu ada riya’ dan bangga diri yang dibenarkan iaitu bangga menganuti agama Islam dan mendokong segala prinsip dan syariat Islam dan berasa ujub (superior) dengan lengkap dan syumulnya Islam berbanding dengan agama yang lain, dan tidak merasa malu-malu atau rendah-diri mengenainya. Inilah bangga diri yang dibenarkan dan digalakkan.


2. Janganlah mengamalkan tabiat gemar mempersendakan orang lain. Termasuk mempersendakan ialah menghina, memalukan, melekehkan, mengutuk, mencaci dan seumpamanya. Tabiat memannggil dengan panggilan yang buruk, ‘character assassination’ dan sebagainya sudah menjadi lumrah dalam suasana hidup zaman sekarang. Tidak mustahil kalau ianya berjaya dibuang dalam kehidupan sehari-hari maka tidak banyaklah benda yang hendak dicakap atau dituliskan. Pesanan dan amaran kepada aspirasi kampus UKM,kami sebagai Persatuan Mahasiswa FPI secara amnya tidak akan berdiam diri kepada mana-mana pihak yang menghina ciptaan Allah SWT dan melanggar larangan Allah SWT. Sekali lagi kami menuntut aspirasi untuk memohon maaf secara terbuka kepada Timbalan Presiden Saudara Mohamad Abdullah Mohd Yusoff.


Muhammad Ikram Bin Darus,
Majlis Perwakilan Pelajar FPI

Merangkap Naib Presiden 4 PMUKM

Sunday, September 18, 2011

Hi Tea Bersama YB MPP FPI









~Sekitar program “Hi Tea Bersama YB MPP FPI''
SAUDARA MUHAMMAD IKRAM BIN DARUS




Bangi,15 September - Gabungan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (GMFPI) telah menganjurkan satu aktiviti pemimpin pelajar bertemu dengan mahasiswa Fakulti Pengajian Islam.Turut terlibat dalam program tersebut adalah Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pengajian Islam yang juga merupakan Naib Presiden 4 PMUKM 2010/2011 iaitu saudara Muhammad Ikram Bin Darus.

Program ini dinamakan “Hi Tea Bersama YB MPP FPI”.Gabungan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (GMFPI) menganjurkan program ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan MPP Fakulti Pengajian Islam kepada pelajar FPI khususnya pelajar tahun 1.Antara aktiviti yang dijalankan adalah sumbangan air kotak dan bungkusan makanan ringan kepada pelajar FPI.


“Terima kasih saya ucapkan kepada GMFPI dan saudara Ikram selaku MPP FPI,yang sudi bertemu dengan kami selaku mahasiswa FPI dan beramah mesra tanpa memerlukan majlis yang formal.Saya amat senang dengan MPP FPI kita.Terima kasih kepada beliau, ''ujar seorang mahasiswa FPI tahun 1.


Saudara Muhammad Ikram juga dibantu oleh beberapa orang majlis tertinggi GMFPI ketika menjayakan program tersebut.Walaupun tempoh program agak singkat iaitu bermula pada jam 12 tengahari dan berakhir pada jam 2 petang,tetapi beliau dapat beramah mesra dengan ramai pelajar FPI dan bertanyakan tentang permasalahan mereka.


“Saya amat gembira pada program santai tersebut kerana dengan cara ini tanpa memerlukan majlis yang formal saya boleh berjumpa dengan mahasiswa dan mahasiswi FPI dengan lebih dekat dan mesra.Dan saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada GMFPI kerana membantu dan menyokong saya dari belakang, serta tidak lupa juga kepada seluruh mahasiswa FPI yang telah memberikan dorongan dan semangat untuk terus memperjuangkan hak mahasiswa dan mahasiswi FPI,”ujar saudara Muhammad Ikram.


Kita amat berbangga dan gembira kerana program seperti ini dijalankan di FPI supaya wujud suasana ramah mesra antara mahasiswa dan pemimpin mahasiswa serta dapat mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim antara pelajar FPI semuanya.








Wednesday, September 7, 2011

Selamat datang mahasiswa baru 2011-2012

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera buat semua mahasiswa yang bakal mendaftar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pertama sekali saya selaku Pengerusi Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas di atas kejayaan saudara dan saudari mendapat tawaran melanjutkan pengajian di UKM bagi sesi pengajian 2011-2012.

Untuk makluman pada tahun ini sebanyak 41,267 buah tempat pengajian telah ditawarkan di 20 IPTA seluruh negara. Dan daripada jumlah tersebut hanya 2,860 buah tempat pengajian ditawarkan di 11 buah fakulti di UKM pada ambilan sesi kali ini.

Oleh hal yang demikian, saya secara peribadi amat berbangga di atas kejayaan saudara dan saudari yang bertuah kerana terpilih melanjutkan pengajian di universiti ketiga tertua di Malaysia selepas UM dan USM.



MERITOKRASI & TANGGUNGJAWAB MAHASISWA

Menurut maklumat yang diperoleh daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM), kaedah terbaru proses pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA adalah berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengambil kira komponen akademik 90% dan kokurikulum 10%. Maka di sini, kejayaan seseorang calon memperolehi tempat pengajian di IPTA bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian yang dipohon.

Justeru itu, kami di Gabungan Mahasiswa ingin mengingatkan bahawa dalam persaingan tempat ke IPTA tidak bergantung pada keputusan akademik semata-mata, dan perlu ditambahnilai(add-on) dengan penglibatan di dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum.

Memetik kata-kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut mengingatkan mahasiswa baru agar berusaha bersungguh-sungguh agar tercapai segala cita-cita dan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan di atas bahu mahasiswa-mahasiswi terlaksana. Juga diingatkan hanya mahasiswa yang memiliki jiwa besar, berfikiran matang dan berpandangan jauh mampu menyempurnakan tanggungjawab mereka dengan baik.

Mahasiswa-mahasiswi juga perlu disedarkan bahawa kita semua merupakan 'role model' kepada masyarakat. Saudara-saudari semua mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, persekitaran, ilmu yang dipelajari, negara bahkan dunia secara amnya. Tanggungjawab dan kewajipan ini adalah satu amanah yang mesti ditunaikan; bukan sekadar kita belajar dan menghadapi peperiksaan kerana ia merupakan syarat untuk bergraduasi.


PENGHAKUPAYAAN POTENSI ANAK MUDA

Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) juga bersetuju dengan pandangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Saifuddin bin Abdullah yang melontarkan permaknaan semula istilah 'penghakupayaan anak muda' (youth empowerment).

Banyak pihak menyebut tentang penghakupayaan anak muda atau belia tetapi, ramai masih tidak pasti dengan maknanya yang sebenar. Malahan telah timbul beberapa kekeliruan terhadap maknanya.

Sebab itulah penghakupayaan belia yang sebenar perlu difahami. Penghakupayaan belia bukan bermakna memberikan kuasa secara semborono kepada anak muda. Sebaliknya, ia adalah proses menyalurkan idealisme, aktivisme dan intelektualisme yang telah sedia dimilikinya.

Dalam mengamalkan penghakupayaan belia, semua individu dan organisasi yang berkaitan perlu bersedia untuk melakukan anjakan paradigma dari segi cara berfikir dan berbuat. Struktur dan hirarki berbau birokrasi perlu dikurangkan.

Kini, banyak anak muda yang disebut-sebut Generasi-Y (Gen-Y) khususnya di kalangan mahasiswa mempunyai pandangan dan inisiatif yang telah menjangkaui apa yang orang dewasa fikirkan.

Adalah diingatkan jika golongan dewasa gagal atau enggan menyelami minda anak muda, mereka akan rugi kerana akan ketinggalan zaman. Dan jika mereka halang percambahan minda anak muda, mereka juga akan rugi kerana anak muda akan meninggalkan jauh ke belakang gologan dewasa.

Maka dengan itu, Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) mengajak semua pihak supaya serius melihat, menerima dan mengiktiraf pandangan anak muda khususnya mahasiswa dengan pendekatan baru, atau dalam erti kata lain, "penghakupayaan" yang jujur dan benar.


PENUTUP

Sebagi penutup, suka diingatkan sejarah telah membuktikan kekuatan dan keampuhan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh sesebuah masyarakat mampu menundukkan kekuatan dan keutuhan masyarakat yang bergantung pada orang lain tanpa mengira kekuatan jumlah ahli masyarakat yang ada. Dengan ilmu pengetahuanlah yang berperanan besar dalam membina tamadun sesebuah negara dan bangsa.

Allah Ta'ala ada menjelaskan kepentingan ilmu pengetahuan ini menerusi firmannya dalam surah Al-Baqarah, Ayat 269 yang bermaksud,

Allah memberikan al-hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya dan sesiapa yang diberikan al-hikmah itu, maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil peringatan melainkan orang-orang yang menggunakan akal pemikirannya

Jelas Al-Quran membayangkan bahawa dengan ilmu pengetahuan (al-hikmah) yang diberikan oleh Allah itu, ia mampu memberikan kebaikan yang banyak kepada manusia khususnya yang memanfaatkannya. Semoga sama-sama kita dapat ambil manfaatnya.

Doa kami di GMUKM, sebagaimana pepatah yang acapkali kita dengari; "kalian datang dengan harapan, kalian pulang dengan kejayaan "

Selamat melangkah ke Universiti Kebanggaan Malaysia!


Ahmad Firdaus bin Ahmad Azam
Pengerusi Gabungan Mahasiswa UKM

Perutusan Aidilfitri 1432H & Hari Kebangsaan Presiden PMUKM

Assalamualaikum wbt.
الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Syukur ke hadrat Allah kerana kita berjaya menempuh bulan Ramadan al-Mubarak dengan penuh ketaatan dan ketekunan. Tiadalah hadiah kejayaan yang terlebih besar dan istimewa dari kejayaan memperoleh status takwa.

Nilai ketakwaan inilah yang akan membawa kita untuk terus beristiqamah dalam menyongsong perjuangan yang serba mencabar ini sebagaimana ayat 103 di dalam surah Al-Baqarah;

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu, supaya kamu bertakwa."
Jelas diperingatkan bahawa orang yang bertaqwa adalah mereka yang senantiasa mentaati perintah Allah dan amat takut untuk melakukan kejahatan.

Justeru semoga ‘Madrasah Ramadhan 1432’ yang baru kita lalui ini akan menjadi ikhtibar untuk kita meneruskan amalan yang baik yang dilaksanakan sepanjang Ramadhan.

AIDILFITRI HARI KEMENANGAN
Aidil Fitri adalah hari kebesaran kurniaan Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah Taala. Orang yang bertakwa adalah mereka yang senantiasa mentaati perintah Allah dan amat takut untuk melakukan kejahatan.

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar." (Al-Ahzab: 71)

MERDEKA DARIPADA HAWA NAFSU
Pada kali ini, kita menyambut bakal menyambut Hari Merdeka dalam suasana yang sedikit berbeza kerana ia jatuh pada waktu yang hampir sama dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Justeru, ayuh kita sambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-54 ini dengan pendekatan yang sedikit berbeza dengan kita merenung kembali apakah signifikasi peristiwa hari ini kepada kita, dan bagaimana setiap daripada kita ingin memainkan peranan.

Juga dengan berkat Aidil Fitri kali ini, kita dapat mentautkan kembali tali silaturrahim bersama jiran tetangga dan sahabat handai. Saya yakin kesempatan yang ada ini akan digunakan juga oleh rakan-rakan dari berbilang bangsa untuk meneruskan tradisi kunjung-mengunjung antara satu sama lain sementelah kita dalam 'mood' hari Merdeka.

Dan pada kesempatan ini, marilah sama-sama kita membaharui semangat untuk meningkatkan lagi kerja dan amal kita dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT, menguatkan ukhuwah, persaudaraan di kalangan kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga mereka tidak ada beza di antara satu sama lain.

Dan tidak ketinggalan untuk saya ucapkan selamat pulang berhari raya di negeri tercinta ini kepada rakan-rakan yang berada di perantauan.

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (Surah Ali Imran: 102)

الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر


Lt. Muda Ahmad Muzzammil Muhd Hairi
Presiden
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM)

GMUKM : Salam Merdeka & 1 Syawal


Assalamu'alaikum wbt.

Di kesempatan ini, kami di Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) dari kampus induk Bangi, Kuala Lumpur & Cheras ingin merakamkan ucapan selamat menyambut Hari Raya 'Idul Fitri & Hari Kemerdekaan ke-54 kepada semua rakan mahasiswa khususnya di UKM dan di universiti-universiti lain. Semoga ketibaan 1 Syawal yang dijangka esok hari diharapkan tidak mematikan semangat kita untuk mengejar lagi saki-baki ganjaran pahala yang masih bersisa di hari terakhir Ramadhan ini.

Gabungan Mahasiswa UKM juga ingin mengajak rakan-rakan agar kembali melakukan 'checklist ibadah' kita di bulan Ramadhan ini agar kita benar-benar telah memanfaatkan kesempatan yang ada pada kali ini. Ramdhan kali ini juga diharapkan kita bukan sekadar hanya menunaikan kewajipan berpuasa dan solat tarawih, tetapi juga kita menghadami dapat memanifestasikan falsafah ibadah-ibadah sunnat lain dan di akhirnya bulan Ramadhan ini dapat membentuk jatidiri kita yang kental untuk menggalas taggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi ini.

Juga diharapkan di hari-hari terakhir ini kita dapat menyembahkan ibadah kita kepada Al-Khaliq dengan sesempurna yang mungkin dengan harapan akan ada secebis amal yang diterima oleh-Nya.

Akhir sekali, diharapkan dengan tibanya 1 Syawal & 31 Ogos yang sangat-sangat bermakna ini kepada dimensi mahasiswa khususnya di UKM, mahasiswa akan terus menyokong kepimpinan PMUKM yang diterajui Lt.M Ahmad Muzzammil Muhd Hairi selaku Presiden PMUKM sejajar dengan motto kepimpinan kali ini, Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti.

Selamat Hari Raya 'Idulfitri & Selamat Hari Kemerdekaan 2011

Wednesday, April 27, 2011

Salam takziah buat keluarga Alllahyarham PM Dr Ahmad Redzuwan


Allahyarham Prof. Madya Dr. Ahmad Redzuwan Mohd. Yunus


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.Segala puji dan sanjungan hanya untuk Allah, mudah-mudahan selawat dan salam dilimpahkan kepada hamba Allah dan Rasulnya, Nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan para sahabatnya sekalian.

Dukacita dimaklumkan bahawa Prof. Madya Dr. Ahmad Redzuwan Mohd. Yunus, Pensyarah Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, telah kembali ke rahmatullah pada 22 April 2011 (Jumaat). Allahyarham juga bertugas sebagai Ketua Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pengajian Islam, UKM. Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di kampung asal Allahyarham di Temerloh, Pahang.

Warga UKM mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.Amin ya Rabbal Alamin. Al Fatihah.(ewarga/bul/bil.25042011-102).

Sejenak bermuhasabah :
Cukuplah kmatian itu sebagai peringatan kepada kita semua bahawa dari Allah kita datang dan kepadaNya kita pasti kan kembali sebagaimana Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: ‘’Hendaklah kamu memperbanyakkan menyebut perkara-perkara yang akan melenyapkan kelazatan (mati).
H.R Tarmizi, Nasaie dan Ibnu Majah

Sabda Rasulullah s.a.w : ‘’Hendaklah kamu mengingati mati kerana mengingati mati itu boleh menghapuskan dosa dan mendorong seseorang itu zuhud di dunia’’.

Sabda Rasulullah s.a.w : ‘’ Memadailah mati itu sebagai nasihat’’


Sabda Rasulullah s.a.w :‘’Dengan banyak mengingati mati dan mengadakan persediaan yang lebih baginya,mereka itulah orang-orang pintar yang pergi dengan kemuliaan dunia dan kehormatan akhirat’’.
H.R Ibn Majah

Sabda Rasulullah s.a.w :‘’Hendaklah kamu hidup sebagai seorang yang mulia yang mana dunia tidak mempengaruhi kamu ataupun hendaklah kamu mati syahid’’.

Firman Allah:‘’Katakanlah,sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya itu tetap akan menemui kamu,kemudian itu kamu akan dikembalikan kepada Tuhan yang Maha Mengetahui segala yang tersembunyi dan yang nyata,maka Dia akan memberitahu kamu apa yang pernah kamu lakukan.’’
Surah al-Jumuah:8

Hakikat sebuah kematian itu pasti,namun seringkali kita alpa dan melupakan detik pengakhiran sebuah kehidupan yang merupakan jambatan untuk ke akhirat yang kekal abadi. Ayuh, kita bermuhasabah dan pertingkatkan amal soleh serta meninggalkan laranganNya.Mudah-mudahan kita mendapat keredhaanNya.Amiin ya Rabbal 'Alamin.

Sumber ; Blog PMFPI

Pertemuan MPM Aida & Ikram Bersama Unit Penjanaan, Jabatan Bendahari


Usaha menyuarakan hasrat mahasiswa berkaitan isu kafeteria ke pentadbiran tercapai jua apabila semalam, saya dan Ikram bertemu Unit Penjanaan, Jabatan Bendahari UKM. Mesyuarat bersama Encik Mansor Shahid, Encik Nazri Putra Ramli dan Encik Kadir Rahmat bermula pada jam 9.30 pagi di Bilik Mesyuarat, Jabatan Bendahari, Canselori.

Agenda pertama dimulakan dengan pembentangan analisis soal selidik untuk mahasiswa berkaitan dengan pemantauan kafeteria. Saya turut mengemukakan rekod aduan bagi setiap kafeteria seluruh kampus dalam sesi pembentangan itu.

Berkaitan harga makanan, kebanyakan mahasiswa berpendapat bahawa kadar harga yang ditetapkan oleh para pengurus cafeteria tidak sesuai untuk pelanggan utama mereka yang berstatus pelajar. Hal ini berlaku di cafeteria seperti di Kolej Keris Mas dan Kolej Burhannuddin Helmi. Selain harga makanan yang mahal, harga yang tidak menentu dan bergantung kepada penjaga kaunter turut berlaku terutama di kafeteria Fakulti Sains dan Teknologi dan Kolej Aminuddin Baki.
Berhubung dengan kebersihan makanan, banyak aduan yang dikemukakan adalah berkaitan bahan mentah yang dimasak sudah lama dan rosak seperti yang berlaku di kafeteria Kolej Ibu Zain. Malahan makanan di kafeteria Kolej Dato’ Onn seringkali mengandungi telur lalat. Secara keseluruhannya, kebanyakan kafeteria mempunyai masalah kebersihan makanan dan tempat penyediaan makanan.

Respon dari Encik Mansor Shahid memberitahu bahawa kafeteria seperti Kolej Rahim Kajai dan Kolej Aminuddin Baki yang sudah lama kontraknya akan tamat. Perlantikan tender kafeteria bagi kolej tersebut akan diadakan bagi memenuhi keperluan sesi semester akan datang. Dalam tempoh sebulan dari sekarang, sesi temuduga terhadap syarikat yang berminat akan dijalankan. Kafeteria Kolej Burhanuddin Helmi pula akan ditamatkan kontrak atas permintaan mahasiswa yang menghuni kolej tersebut kerana terlalu mahal. Baru kelmarin pihak Unit Penjanaan membuka kepada mana-mana syarikat yang berminat menggantikan kafeteria KBH yang ada sekarang.

Apabila diajukan masalah yang dihadapi oleh mahasiswa Kolej Keris Mas berkaitan kafeteria mereka, En Mansor memberitahu isu tersebut telah dimaklumkan ke pihak pentadbiran atasan universiti kerana melibatkan syarikat universiti. Manakala kafeteria di Kolej Pendeta Zaaba pula bukan dibidang kuasa Unit Penjanaan tetapi sepenuhnya Syarikat Kauthar.

Pihak Encik Mansor menyambut baik cadangan yang dikemukakan iaitu:
  • penetapan/penyelarasan harga makanan bagi satu tempoh tertentu.
  • penyelarasan pemantauan kafeteria oleh Unit Penjanaan dan Pusat Kesihatan untuk penggredan kafeteria.
  • soal selidik pemantauan kafeteria secara online untuk liputan menyeluruh dan membumi
En Kadir Rahmat merasakan pertemuan sebegini perlu lebih kerap demi menambahbaik dan memastikan kafeteria menyediakan perkhidmatan yang terbaik. Katanya lagi, pihak Unit Penjanaan sangat berbesar hati menerima kunjungan dan ide pandangan dari mahasiswa.

Tidaklah usaha ini terhenti di sini, bahkan akan berjalan tanpa henti. Cuma mengharap sokongan dan dokongan dari rakan-rakan mahasiswa.

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI.

Sumber : MPM AIDA

Tuesday, April 12, 2011

FPI Lulus Manifesto MPM Ikram

pada 21:06

UKM, 12 April - Majlis Perwakilan Mahasiswa Fakluti Pengajian Islam Tahun 1 dan 2 ( MPM FPI 1 dan 2) merangkap Naib Presiden 4 PMUKM Saudara Muhammad Ikram Bin Darus telah menerima satu surat daripada kedekanan FPI. Surat tersebut merupakan surat kelulusan permohonan bilik khas mesin fotostat dan tempat khas water cooler di FPI seperti yang dijanjikan beliau dalam manifesto pilihanraya kampus lalu.

Surat tersebut memberitahu bahawa Mesyuarat Pengurusan Fakluti Pengajian Islam Yang ke-266 pada 1 April 2011 telah membuat keputusan iaitu:

1. Bilik Fotostat
Fakulti bersetuju memberi ruang khas di tangga paras bawah Fakulti Pengajian Islam bersebelahan dengan Singgahan Ilmu sebagai ruang kemudahan mesin fotostat dan pusat perkhidmatan kepada pelajar-pelajar Fakulti Pengajian Islam.Walau bagaimanapun keputusan ini tertakluk kepada persetujuan dan kelulusan bendahari UKM dan Jabatan Pengurusan Pembangunan. Mesin fotostat akan disedia dan diuruskan oleh pihak pelajar.

2. Perkhidmatan watercooler
Fakulti telah bersetuju perkhidmatan water cooler disediakan di paras bawah bangunan Fakluti Pengajian Islam.Fakluti telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pengurusan Pembangunan untuk membekalkan kemudahan perkhidmatan berkenaan.

Sehubungan dengan itu, pihak Majlis Perwakilan Mahasiswa FPI juga akan bertindak secepat mungkin untuk memastikan kemudahan pelajar seperti yang dinyatakan diatas dapat disegerakan.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kedekanan FPI yang telah meluluskan permohonan manifesto saya dan saya akan cuba sedaya upaya bersama-sama pihak pentadbiran FPI untuk terus mendapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa untuk memastikan kemudahan mesin fotostat dan juga watercooler disegerakan demi mahasiswa Fakulti Pengajian Islam. Saya juga berharap,seluruh mahasiswa Fakulti Pengajian Islam akan sabar untuk kemudahan tersebut kerana ia memerlukan proses yang banyak. Saya faham keadaan anda kerana saya juga turut mengalaminya. Saya mengajak semua mahasiswa FPI memberi sokongan pada saya dalam melaksanakannya."-Saudara Muhammad Ikram BIn Darus.

Dengan adanya kelulusan tersebut, saudara Muhammad Ikram menarik lafas lega dan alhamdulillah kerana masalah kekurangan kemudahan di FPI dipedulikan oleh pihak pentadbiran FPI.



BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails