Tuesday, May 25, 2010

KENYATAAN RASMI MEDIA GMUKM TERHDAP 4 MAHASISWA

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) kesal dengan peristiwa penahanan empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia oleh pihak polis di Hulu Selangor dan menyifatkan tindakan tersebut seolah-olah berundur ke belakang ketika masyarakat dunia khususnya di para belia dituntut mempunyai rasa tanggungjawab dan prihatin terhadap pentadbiran dan pembangunan negara hari ini.
Menyoroti hari kejadian tersebut, mereka ditahan dalam sebuah sekatan jalan raya di Hulu Selangor bersama tiga orang awam yang lain. Kemudiannya, Pihak pentadbiran UKM telah mengeluarkan surat pertuduhan terhadap empat orang mahasiswa tersebut pada 13 Mei lalu.
Empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik tersebut ialah Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai. Mereka akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM pada 2 dan 3 Jun ini atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang di bawah seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang bermaksud;
"Tiada seorang pun pelajar universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut perlembagaan boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan bangkangan terhadap - (a) mana-mana parti politik sama di dalam atau di luar Malaysia".
Ironinya semua pertuduhan tersebut ditujukan kepada empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik. Sudah menjadi kebiasaan kepada setiap mahasiswa untuk turun ke lapangan masing-masing bagi menimbau sebanyak mungkin pengalaman dan mengukuhkan pemahaman. Di mana lagi lapangan bagi mahasiswa jurusan Sains Politik sekiranya bukan dalam pilihan raya. Ini ternyata bercanggah dan tidak logik bagi akal apabila seorang yang sedang menduduki jurusan di dalam kuliah universiti secara teori tetapi disekat hak akademik mereka untuk mengorientasikan pembelajaran mereka ke lapangan sebenar.
Dalam sidang media baru-baru ini, Muhammad Hilman selaku Presiden Kelab Sains Politik telah menegaskan bahawa penahan beliau bersama tiga orang yang lain adalah sangat tidak munasabah bagi mereka yang mendalami jurusan Sains Politik.
“Menjadi adat sebagai mahasiswa jurusan sains politik untuk turun ke lapangan pilihan raya. Kalau mahasiswa perubatan turun ke hospital. Bagi jurusan sains politik, kami turun ke lapangan pilihan raya untuk lihat bagaimana politik (yang) sebenar berlaku," kata Muhammad Hilman Idham
Dakwaan ‘ menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan bangkangan terhadap - (a) mana-mana parti politik sama di dalam atau di luar Malaysia ‘ pula nyata gagal dibuktikan dengan jelas apabila salah seorang mahasiswa yang ditahan menegaskan bahawa mereka kebetulan ‘hanya menumpang kereta seorang aktivis’ dan ‘bukan berkempen’. Justeru tindakan pegawai Hal Ehwal Pelajar yang terus menuduh mahasiswa tersebut menyokong Pakatan Rakyat nyata dikesali dan memalukan seluruh warga Universiti Kebangsaan Malaysia kerana bertindak kurang rasional dan kebudak-budakkan.
AUKU yang sangat diagung-agungkan oleh pihak pentadbiran UKM ternyata sudah tidak releven lagi. Ini ternyata telah membantutkan pertumbuhan idealisme mahasiswa sejurus mengurangkan kredibiliti mahasiswa sebagai pemimpin pada masa akan datang.
“ Kenapa kerajaan perlu sekat kebebasan bersuara mahasiswa melalui AUKU sekiranya kerajaan berada di pihak yang benar. Kami sebagai mahasiswa hanya ingin menyuarakan pandangan serta pendapat terhadap sesuatu isu. Kerajaan sepatutnya menjadikan lontaran idea dari kalangan mahasiswa sebagai batu lonjakan bagi memperbaiki sistem pentadbiran Negara ke arah yang lebih baik.Sepertimana yang kita sedia maklum, kebanyakan IPTA di Malaysia mencatatkan penurunan rangking Asia.Jika kerajaan terus menerus menyekat idealisme mahasisa, saya khuatir kualiti mahasiswa-mahasiswa yang dilahirkan akan terus jatuh dan akhirnya akan menyebabkan Malaysia semakin terkebelakang akibat tidak mampu melahirkan mahasiswa yang berfikiran kritikal dan kritis.” Tegas Mohd Hafiz B Abdul Razak selaku Pengurusi GMUKM

Mahasiswa perlu diiktiraf sebagai generasi pelapis kepimpinan negara yang bakal menerajui kemajuan dan ketamadunan Malaysia pada masa akan datang. Hak dan kebebasan mahasiswa seharusnya tidak wajar disekat dan diikat. Justeru, tidak seharusnya kebobrokan dalam kampus terus dibiar berleluasa yang mana ianya melambangkan pentadbiran yang tidak profesionalisme dan korup. Usaha yang gigih tanpa disulami kepentingan politik perlu digarap oleh setiap segmen masyarakat demi melahirkan mahasiswa yang berjiwa pemimpin yang bakal mencorakkan kegemilangan negara.

Justeru itu, GMUKM menggesa;
1. pihak pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menarik balik semua pertuduhan dan prosiding yang bakal dijalankan ke atas empat orang mahasiswa Sains Politik berkenaan.

2. pihak pentadbiran universiti di Malaysia tidak menyekat dan menakut-nakutkan seluruh persatuan mahasiswa dan ahli persatuan dengan menyatakan bahawa tindakan tatatertib akan diambil ke atas mahasiswa sekiranya mereka lantang menyuarakan hak dan pandangan masing-masing kerana hal ini jelas menyanggahi saranan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah pada 21 Mei 2010 yang lalu; yang antara lain menyebut pihak IPTA seharusnya mewujudkan suasana yang lebih kondusif supaya mahasiswa tidak takut untuk menyuarakan apa saja pendapat mereka termasuk mengenai politik, demi menyemarakkan budaya berfikir secara kritis di kalangan pelajar.


3. menuntut pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia mengkaji semula keberkesanan dan kerelevanan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 agar tidak bercanggah dengan Seksyen 119(1a) dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang jelas menyatakan semua warganegara yang mencapai umur 21 tahun berhak menyertai politik dan layak mengundi dalam pilihanraya.Justeru penyertaan mahasiswa-mahasiswa ke dalam kancah politik adalah satu hak yang sah dari segi Perlembagaan Persekutuan Malaysia; tiada pihak yang berhak mencabuli hak tersebut setelah mereka mencapai usia 21 tahun.

4. Pihak kerajaan Malaysia mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh para mahasiswa selaku orang muda dalam menghidupkan sesebuah kelompok masyarakat negara pada hari ini. Tindakan menyekat dan menakut-nakutkan golongan ini akan membantutkan pertumbuhan dan pembinaan bakal para pemimpin negara yang berkualiti dan berfikiran kritis.
*Kenyataan media, Pimpinan Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM)
Pengerusi GMUKM:Mohd Hafiz Bin Abd. Razak
Presiden MAMPU:Ahmad Firdaus Bin Ahmad Azam
Presiden KAMI:Muhammad Hilman Bin Idham
Presiden GMLN:Mohd Fadhlan Bin Sugiman
Presiden AKSIS:Nabilah Binti Mohd Maiyidin

Sumber : GMUKM

Saturday, May 22, 2010

Malaysia Bakal 'Muflis' Pemimpin Berwibawa - Pengerusi MPMN

KUALA LUMPUR : Baru-baru ini empat mahasiswa UKM telah dikenakan tindakan di bawah Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) kerana dituduh melanggar undang-undang universiti. Arahan itu telah dikeluarkan oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) susulan setelah mereka ditangkap oleh pihak polis di Hulu Selangor ketika Pilihanraya kecil berlangsung di sana.

Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) telah membantah keras terhadap tindakan yang tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan norma demokrasi yang telah diamalkan di negara kita. "Sebagai mahasiswa, mereka berhak berada di mana sahaja dan bebas untuk menyuarakan hak mereka. "Tindakan yang dikeluarkan oleh pihak universiti itu jelas melanggar hak kebebasan bersuara di negara ini," kata Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional(MPMN), Muhammad Syafiq Abdul Aziz (gambar) kepadaerapakatan.com

Menurut beliau, pihak Universiti harus sedar mahasiswa ialah aset dan agen perubah kepada kepimpinan negara, ini dilihat sebagai salah satu latihan sebelum menceburkan diri selepas keluar dari menara gading kelak.

Bagi Syafiq, jika mahasiswa disekat pemikiran dan perjuangan mereka, sudah pasti negara akan lumpuh dan ‘muflis’ kepimpinan yang berwibawa suatu hari nanti.

"Mereka tertuduh juga merupakan mahasiswa jurusan Sains Politik dan semestinya mereka perlu turun kelapangan untuk menyaksikan sendiri suasana politik Malaysia lagi-lagi ketika pilihanraya sedang berlangsung. "Ini ialah salah satu praktikal dan latihan bagi mereka selaku mahasiswa jurusan Sains Politik," kata beliau lagi.

Syafiq yang mewakili MPMN mempersoalkan mengapa pihak universiti perlu mengenakan tindakan tersebut. Bagi beliau hal ini jelas pihak pentadbiran Universiti menafikan hak kebebasan akademik.

Sehubungan itu, MPMN menggesa pihak Universiti menarik balik tindakan yang telah dikenakan ke atas mereka dan memuji tindakan mahasiswa yang mempraktikkan hak demokrasi. MPMN juga akan terus memperjuangkan kes tersebut dengan segenap rupa dan cara untuk membela dan memperjuangkan hak mereka.

"Pihak universiti jangan cuba untuk memperbodoh dan menakut-nakutkan mahasiswa dengan tindakan yang telah dikeluarkan. Pihak Universiti seharusnya bertindak lebih profesional dalam kes ini."

Tertuduh ialah Hilman Idham, Ismail Aminudin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai.
Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Universiti pada 2 dan 3 Jun 2010. Pihak MPMN mengharapkan dan menyeru kepada gerakan-gerakan kampus, NGO, ahli politik dan indvidu agar terus membela dan memperjuangkan mahasiswa yang jelas telah dicabuli hak mereka oleh pihak Universiti.

SUMBER : PM-UKM

Friday, May 21, 2010

Makluman Peserta Bengkel Kerjaya '10

Kepada sahabat peserta Bengkel Kerjaya '10, cth CV dan LKA akan diemelkan berdasarkan permintaan dan tidak akan diupload disini (Blog MPP Tahun 3) sebagaimana yang dijanjikan untuk tujuan privasi...

sila hubungi Siti Jamilah Husin, Ketua Pengarah di talian 013-2016840 ataupun di alamat emel chanteque304@gmail.com....


mohon maaf atas segala kesulitan...

Mahasiswa 21 tahun berhak berpolitik

KUALA LUMPUR, 20 Mei: Pengerusi Pusat Perkembangan Budaya LLG, Datuk Dr. Toh Kin Woon berkata, tindakan empat mahasiswa Sains Politik UKM yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor seharusnya digalakkan dan bukan diambil tindakan oleh pihak Universiti.

Beliau dalam satu kenyataan memberitahu, tindakan empat pelajar tersebut sebenarnya selari dengan Seksyen 119(1a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan semua warganegara yang mencapai umur 21 tahun berhak menyertai politik dan layak mengundi dalam pilihanraya.

"Oleh itu, penyertaan politik ialah satu hak yang sah menurut perlembagaan, tiada sesiapa orang termasuk menteri berkuasa mencabuli hak mereka," katanya.

Empat mahasiswa jurusan Sains Politik UKM iaitu Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ekoran terlibat pada PRK Hulu Selangor.

Selain itu, Kin Woon berkata tindakan keempat-empat mereka juga wajar dipuji kerana berani mempraktikkan hak demokrasi mereka dikala mendapat tekanan dari Kementerian Pengajian Tinggi dan juga Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Menurutnya, kekurangan ruang demokrasi di universiti telah menjadikan ramai mahasiswa tidak prihatin terhadap masyarakat.

Namun empat pelajar UKM tersebut telah membuktikan keprihatinan mereka terhadap Masyarakat.

"Dengan suasana intimidasi dan amaran Menteri Pengajian Tinggi Khaled Nordin, 4 orang mahasiswa yang mengikuti kursus politik masih berani mempraktikkan hak demokrasi mereka, tindakan ini harus digalakkan dan mendapat sokongan masyarakat.

"Sebab tindakan mereka menunjukkan pemikiran yang matang, rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap masyarakat dan pembangunan negara, ” katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa Timbalan Canselor UKM Profesor Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin menggugurkan dakwaan terhadap ke empat-empat yang dituduh dan menghentikan prosiding yang dijadual 4 Jun hadapan..

Pusat Perkembangan Budaya LLG juga katanya menyarankan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menghormati hak demokrasi mahasiswa yang termaktub di dalam perlembagaan, mengusulkan pemansuhan Auku serta merta.

Khaled katanya juga perlu merancang pelan pembaharuan pendidikan pengajian tinggi jangka masa panjang untuk menunjukkan janji ikhlas beliau dalam peningkatan kualiti IPTA.


Sumber : Harakahdaily

Tuesday, May 18, 2010

Mahasiswa desak UKM batal pertuduhan

Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang akan didakwa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kerana didakwa berkempen di Hulu Selangor mendesak universiti berkenaan membatalkan pertuduhan terhadap mereka.

Mahasiswa terbabit - yang akan didakwa pada awal bulan depan - membuat tuntutan itu kerana "sebagai pelajar jurusan sains politik, mereka perlu turun padang menyaksikan percaturan sebenar politik."

"Menjadi adat sebagai mahasiswa jurusan sains politik untuk turun ke lapangan pilihan raya. Kalau mahasiswa perubatan turun ke hospital. Bagi jurusan sains politik, kami turun ke lapangan pilihan raya untuk lihat bagaimana politik (yang) sebenar berlaku," kata Muhammad Hilman Idham.

Lagi pun, tambahnya, ia setelah banyak pilihan raya yang disertainya "tidak pernah menjadi masalah".

Dua lagi rakannya yang akan didakwa - Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adzha - bagaimanapun tidak hadir kerana sedang bercuti semester.

Kesemua pemimpin Kelab Sains Politik UKM itu menerima surat pertuduhan pada 13 Mei, menyatakan mereka akan didakwa bawah Seksyen 15 (5) AUKU yang berbunyi:

"Tiada seorang pun pelajar universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut perlembagaan boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan bangkangan terhadap - (a) mana-mana parti politik sama di dalam atau di luar Malaysia".

Pada 22 April lalu, Muhammad Hilman ditahan bersama Azlin Shafina di Pekan Rasa, Hulu Selangor kerana "membawa dan memiliki CD, risalah berunsur sokongan atau simpati dengan atau bangkangan terhadap parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan itu".

Muhammad Ismail pula ditahan polis di Ampang Pecah pada 22 April bersama tiga individu - termasuk seorang lagi rakan sekuliahnya - dalam sebuah van yang mengandungi risalah berunsurkan politik.

Seorang lagi rakan mereka bagaimanapun setakat ini belum menerima sebarang pertuduhan daripada universiti.

Muhammad Hilman bagaimanapun ditahan lagi sehari oleh pihak polis, selepas itu kerana didakwa engkar kepada arahan pasukan pemantauan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan UKM supaya beredar dan tidak terlibat dengan kempen pilihan raya tersebut.

Beliau akan dibicarakan di mahkamah univerisiti pada 2 Jun depan. Manakala Muhammad Ismail dan Azlin Shafina pula dihadapkan ke mahkamah tersebut pada sehari berikutnya.

Dalam sidang media di ibu negara pagi ini, Muhammad Hilman berkata akan berbincang dengan peguamnya terlebih dahulu berhubung persediaan mereka menghadapi kes itu.

Ditanya mengenai tujuan beliau ke kawasan pilihan raya itu, Muhammad Hilman memberitahu, "hanya menumpang kereta seorang aktivis" dan "bukan untuk berkempen".

Beliau juga berkata, setahunya berdasarkan AUKU, beliau boleh dibuang universiti atau digantung pengajian sekiranya disabitkan kesalahan.

Bentuk hukuman itu tidak dinyatakan dalam surat pertuduhan terhadapnya, tambah pelajar tahun akhir universiti itu.

Turut hadir dalam sidang media itu, pemimpin mahasiswa daripada pelbagai persatuan, antaranya Solidariti Mahsiswa Malaysia (SMM), Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia (Dema), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) bagi menyatakan sokongan mereka.

Dalam kenyataan bersamanya, persatuan pelajar tersebut mendakwa pertuduhan terhadap tiga pelajar UKM itu "telah menyimpang daripada norma-norma kebebasan akademik, dan hak kebebasan untuk bergerak selaku wargenegara Malaysia".

"Seluruh mahasiswa mengutuk tindakan HEP (Hal Ehwal Pelajar) UKM yang dengan sengaja dan tidak bertanggungjawab cuba untuk menakut-nakutkan mahasiswa dengan peraturan dan tindakan yang jauh menyimpang dengan nilai intelektual yang seharusnya diterapkan oleh pentadbiran universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi," kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu dibacakan bersama oleh kesemua pemimpin mahasiswa yang hadir, termasuklah Pengerusi SMM Shazni Munir Mohd Ithnin, Presiden Gamis Mohd Idris Mohd Yusoff dan Setiuasaha Dema Yap Heng Lung.

Sumber : malaysiakini

Friday, May 14, 2010

Senarai Asia: UM, UKM terus jatuh

Universiti-universiti utama di Malaysia terus jatuh beberapa takuk dalam senarai Kedudukan 200 Universiti Asia yang dijalankan oleh Times Higher Education-QS World University Rankings.

Antaranya adalah Universiti Malaya (UM) yang jatuh ke kedudukan 42 berbanding 39 yang didudukinya pada 2009.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), juga jatuh daripada kedudukan 51 kepada 58 untuk berada di tangga yang sama dengan National Central University, Taiwan dan Universiti Ateneo de Manila dari Filipina.

UM yang satu ketika dianggap universiti terunggul negara adalah antara 100 universiti terbaik di dunia pada senarai 2004 tetapi terkeluar daripada senarai itu pada 2006.

Bagaimanapun Universiti Putera Malaysia, berjaya memperbaiki kedudukannya daripada 90 kepada 77, manakala Universiti Islam Antarabangsa (UIA) merosot daripada 156 kepada 201.

Universiti Sains Malaysia (USM), yang diberi taraf Universiti Apex pada 2009, kekal pada kedudukan 69 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga kekal pada tangga 82.

Kajian yang berpangkalan di UK itu meletakkan University of Hong Kong ditangga teratas dan diikuti oleh Hong Kong University of Science and Technology.

National University of Singapore pula berjaya menduduki tempat ketiga.

Sumber : Malaysiakini

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails