Friday, May 21, 2010

Mahasiswa 21 tahun berhak berpolitik

KUALA LUMPUR, 20 Mei: Pengerusi Pusat Perkembangan Budaya LLG, Datuk Dr. Toh Kin Woon berkata, tindakan empat mahasiswa Sains Politik UKM yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor seharusnya digalakkan dan bukan diambil tindakan oleh pihak Universiti.

Beliau dalam satu kenyataan memberitahu, tindakan empat pelajar tersebut sebenarnya selari dengan Seksyen 119(1a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan semua warganegara yang mencapai umur 21 tahun berhak menyertai politik dan layak mengundi dalam pilihanraya.

"Oleh itu, penyertaan politik ialah satu hak yang sah menurut perlembagaan, tiada sesiapa orang termasuk menteri berkuasa mencabuli hak mereka," katanya.

Empat mahasiswa jurusan Sains Politik UKM iaitu Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ekoran terlibat pada PRK Hulu Selangor.

Selain itu, Kin Woon berkata tindakan keempat-empat mereka juga wajar dipuji kerana berani mempraktikkan hak demokrasi mereka dikala mendapat tekanan dari Kementerian Pengajian Tinggi dan juga Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Menurutnya, kekurangan ruang demokrasi di universiti telah menjadikan ramai mahasiswa tidak prihatin terhadap masyarakat.

Namun empat pelajar UKM tersebut telah membuktikan keprihatinan mereka terhadap Masyarakat.

"Dengan suasana intimidasi dan amaran Menteri Pengajian Tinggi Khaled Nordin, 4 orang mahasiswa yang mengikuti kursus politik masih berani mempraktikkan hak demokrasi mereka, tindakan ini harus digalakkan dan mendapat sokongan masyarakat.

"Sebab tindakan mereka menunjukkan pemikiran yang matang, rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap masyarakat dan pembangunan negara, ” katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa Timbalan Canselor UKM Profesor Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin menggugurkan dakwaan terhadap ke empat-empat yang dituduh dan menghentikan prosiding yang dijadual 4 Jun hadapan..

Pusat Perkembangan Budaya LLG juga katanya menyarankan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menghormati hak demokrasi mahasiswa yang termaktub di dalam perlembagaan, mengusulkan pemansuhan Auku serta merta.

Khaled katanya juga perlu merancang pelan pembaharuan pendidikan pengajian tinggi jangka masa panjang untuk menunjukkan janji ikhlas beliau dalam peningkatan kualiti IPTA.


Sumber : Harakahdaily

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails