Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) yang merupakan komponen Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengingatkan pihak pemerintah kerajaan Malaysia hari ini agar berhati-hati dalam menetapkan sesuatu dasar atau polisi khususnya yang membabitkan mahasiswa. Ini kerana sebarang tindakan yang dilihat bercanggah dan tidak rasional pada pandangan mahasiswa sekarang akan mengakibatkan kesan yang buruk terus kepada parti pemerintah yang ada sekarang menjelang Pilihanraya Umum ke-13.
Gabungan Mahasiswa UKM telah mendapatkan pandangan Dr Samarudin Md Rejab yang merupakan bekas Presiden Kesatuan Pelajar Institut Teknologi Mara di tahun 1970-an. Beliau yang kini merupakan seorang peguam kanan dan pakar yang mengkaji Perlembagaan Persekutuan berkata, mahasiswa kini yang ditekan dan ditindas dengan Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) akan bangkit menentang sebagaimana sebelum AUKU diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengekang kekuatan mahasiswa.
AUKU, ujarnya telah digunapakai oleh kerajaan pemerintah bagi memastikan pergerakan pelajar dapat dikekang dalam usaha membantutkan pemikiran intelektual golongan itu daripada menyampaikan buah fikiran yang kritikal. Contoh terkini dalam kes 'UKM4' yang membabitkan empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia jurusan sains politik, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak rayuan mereka terhadap penggunaan AUKU dalam pendakwaan ke atas mereka.
Dr Samarudin berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) kini adalah pemerintah kerajaan pusat masa kini , tetapi harus diingatkan pada pilihan raya umum seterusnya, BN akan berdepan dengan mahasiswa yang kini berada di IPTA dan IPTS.Golongan ini yang sekiranya merasakan mereka telah ditindas oleh dasar dan peraturan kerajaan semasa, bakal 'membalas dendam dengan mengadakan 'undi protes' terhadap kerajaan pusat yang sedia ada.
"Walaupun ditekan begitu rupa oleh Auku sejak hampir 40 tahun, pergerakan pelajar di peringkat universiti tidak lemah, masih dinamik dan ada kekuatan kerana jumlahnya yang besar. Misalnya, jika sebuah universiti mempunyai 5,000 pelajar, jika 10 buah universiti, di situ sudah ada 50,000 pelajar.
"Sekarang ini, di Malaysia kita ada kira-kira 20 hingga 30 buah institut pengajian tinggi awam termasuk swasta. Ini adalah jumlah yang sangat besar, bermakna lebih kurang 100,000 hingga 200,000 pelajar dan mereka ini adalah satu kekuatan yang tidak boleh diketepikan.
"Dalam konteks demokrasi dan pilihan raya, mereka inilah bakal pengundi yang signifikan tetapi dari segi kepimpinan, mereka ini tersekat oleh kerana adanya AUKU yang menyekat pergerakan mereka," ulas beliau lanjut.
Justeru menurut pandangan Dr Samrudin lagi, rakyat Malaysia yang telah mencapai syarat umur untuk mengundi dalam proses demokrasi tidak kira sama ada pelajar, pekerja atau pun masyarakat umum berhak mengambil bahagian secara aktif dalam proses demokrasi kerana hak tersebut telah diberikan oleh Perlembagaan Negara.
Justeru BN harus berhati-hati dengan jumlah mahasiswa yang kini sedang memerhatikan sebarang polisi dan dasar kerajaan. Golongan ini juga seperti sedia maklum akan mengisi senarai Daftar Pemilih Terkini SPR setelah mendaftar sebagai pengundi setelah cukup umur. Suara mahasiswa kini perlu dilihat sebagai suara anak kecil yang bakal kedengaran besar apabila cukup umurnya. Justeru, ingatan daripada komponen SMM bahawa, jangan dicabar jiwa anak muda ini.
Kita di peringkat Gabungan Mahasiswa UKM yang sejak awal-awal lagi mengingatkan kepada pihak-pihak yang sering memperkotak-katikkan mahasiswa agar berhati-hati kerana gendang pilihan raya umum mula kedengaran setelah Parlimen yang dibentuk selepas 8 Mac 2008 bakal cukup tempoh matangnya tiga tahun menjelang pertengahan tahun hadapan; 2011. Justeru, kita mengingatkan sekali lagi, sebarang keputusan, dasar atau polisi terutamanya yang sengaja diadakan dengan tujuan mengekang gerakan mahasiswa akan memburukkan lagi keadaan. Gabungan Mahasiswa UKM optimis tiada pihak yang akan mampu mengekang kemaraan gerakan mahasiswa apabila kesabaran kita mahasiswa sampai pada peringkat maksimumnya.
Jangan lupa, mahasiswa kini adalah pengundi PRU-13 !
Salam tranformasi,
Gabungan Mahasiswa
Universiti Kebangsaan Malaysia
Bangi, Selangor Darul Ehsan.
01 Oktober 2010
Sumber : GMUKM
No comments:
Post a Comment