Himpunan Mahasiswa Islam tengahari tadi disifatkan berjaya oleh pihak penganjur, Membina Mahasiswa Penggerak Ummah (MAMPU). Presiden MAMPU, saudara Firdaus Azam ketika dihubungi memaklumkan, di peringkat beliau hanya menyasarkan kehadiran sekitar 100 orang tetapi jumlah yang hadir hari ini amat memberangsangkan.
" Biarpun kita mendapat 'lawatan' daripada Unit Keselamatan yang kelihatan sengaja membuat provokasi, tetapi hari ini mahasiswa Islam membuktikan bahawa kita tidak gentar dan takut dengan ancaman daripada mereka.
" Di samping itu, saya mewakili saf kepimpinan 'front' MAMPU pada hari ini merakamkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan mahasiswa yang turun bersama kita pada pagi (tengahari) ini. Tujuan kita mengadakan himpunan pada hari ini untuk menyampaikan 'signal' kepada warga UKM bahawa kita sudah bersedia kembali mewarnai politik kampus bumi UKM ini.
" Kita juga dalam masa yang sama menyeru kepada rakan-rakan terutama yang beragama Islam untuk bermuhasabah dalam pada kita sedang melangkah dekad yang baru, iaitu menuju 2011 yang kita lihat serba mencabar dan menggugat terutama dalam isu-isu sosial dan integriti warga Malaysia," tambah beliau lagi.
MAMPU merupakan sebuah badan yang telah ditubuhkan menjelang sesi akademik 1986/87. MAMPU antara 'front' yang bersama-sama menggagaskan Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) pada tanggal 22 Ogos 2005 bersama rakan-rakan mahasiswa daripada 'front' Malaysia Democratic Student & Youth Movement (DEMA), Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa/i (JKMI) dan lain-lain.
Selaku jurucakap dan duta ummah, MAMPU menginsafi bahawa kepimpinan sewajarnya berperanan membawa masyarakat yang dipimpinnya meraih keredhaan Allah SWT. Kuasa yang diperoleh bukan semata-mata atas dasar gilakan pangkat dan nama mahupun wang ringgit, tetapi MAMPU menginsafi bahawa setiap satu tanggungjawab itu adalah amanah yang akan disoal kembali di Akhirat kelak.
Sebagaimana di dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda, “ Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan disoal pada hari akhirat ke atas apa yang kamu pimpin” (Riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment