10 Oktober 2012 – Dua Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)
UKM iaitu saudari Tuan Zul Ajma bt Tuan Ahmad dan Nur Afifah Abd Rahim telah
mengadakan perbincangan bersama Pengerusi Eksekutif Syarikat Bas TransRengit,
Encik Mahyudin Samihun.
Objektif perbincangan tersebut dilakukan adalah bagi
mengemukakan aduan mahasiswa mahasiswi UKM mengenai perkhidmatan bas
TransRengit. Selain itu, ia diadakan bagi mencapai kesepakatan dalam tindakan
yang bakal diambil bagi menyelesaikan setiap isu yang dibincangkan.
Sebelum itu, kedua-dua MPP juga telah pergi ke pejabat
urusan TransRengit di Shah Alam bagi
berbincang dengan pihak pengurusan namun begitu Pengerusi Eksekutifnya tidak
berada di pejabat ketika itu. Oleh itu, kami telah mengatur pertemuan dengan
Pengerusi Eksekutif di UKM pada sebelah
petangnya.
MPP UKM bersama staf TransRengitdi Shah Alam
Menurut Encik Mahyudin, bas TransRengit di UKM dipantau
sepenuhnya oleh penyelia bas Unit Kenderaan agar mengikut masa dan jadual
perjalanan bas yang telah ditetapkan. Mengenai isu bas lambat, beliau
menyatakan bahawa setiap bas yang bergerak dari KKM dan Za’ba akan mengambil
masa setengah jam bagi setiap pusingan. Tiga bas pertama akan bergerak dari KKM
dan Za’ba seawal jam 7.30 pagi.
Menurut Encik Mahyudin Samihun lagi, beliau cakna akan aduan
mengenai pemandu bas yang memandu secara laju selain sikap mereka yang tidak
berhemah ketika memandu. Aduan terhadap pemandu-pemandu bas tersebut akan
diambil kira dan tindakan berbentuk amaran akan diberikan kepada mereka
sebanyak dua kali. Ianya akan dilakukan sekiranya terdapat bukti yang
mengesahkan aduan pelajar terhadap pemandu bas yang berkenaan. Sekiranya sabit
kesalahan, tindakan dibuang kerja akan dikenakan terhadap pemandu bas tersebut.
Penyerahan surat aduan dan surat cadangan
Antara lain, terdapat beberapa inisiatif yang akan diambil
oleh pihak pengurusan bas trans rengit bagi memberi perkhidmatan yang terbaik
buat mahasiswa di UKM. Borang maklum balas mengenai keberkesanan perkhidmatan
bas trans rengit akan dilancarkan oleh pihak TransRengit sendiri. Selain itu,
pihak TransRengit akan menyediakan tag nama bagi setiap pemandu bas sebagai
suatu inisiatif baru. Pihak TransRengit juga akan mengusahakan agar setiap bas
TransRengit dilengkapi dengan system GPS bagi kelancaran pergerakan bas-bas di
UKM.
Di akhir perbincangan, pihak pengurusan bas TransRengit akan
menyediakan dokumen bertulis yang menyatakan dengan jelas tindakan selanjutnya
yang bakal diambil oleh pihak mereka. Pihak TransRengit dan ahli MPP UKM turut
bercadang untuk mengadakan perjumpaan berkala dalam memastikan perkembangan
yang positif dari semua pihak.
MPP turun padang cuba merasai masalah pengguna bas TransRengit
Mana-mana pelajar yang mempunyai masalah atau
aduan berkenaan dengan berkhidmatan bas, diharapkan mencatat waktu kejadian,
tarikh, tempat berlaku, nombor plat bas beserta dengan nama pengadu. Jika
mahasiswa mempunyai kamera, anda bolehlah mengambil gambar dan menghantarnya
kepada pihak kami. Pihak mereka juga mengharapkan agar apa-apa aduan terus
berhubung dengan En Mahyudin di talian
019-33724555.
No comments:
Post a Comment