Bangi 9 Nov 1.50 pm| Pemberitahuan mengenai penglibatan mahasiswa tahun 1 dari Fakulti Pengajian Islam ke Biro Tata Negara (BTN) banyak menunjukkan ketidakpuasan hati dikalangan mereka.
Seorang pelajar tahun 1 dari Jabatan Usuluddin yang tidak mahu dikenali berkata : " Saya sangat tidak gembira perlu menyertai BTN. Sepatutnya selepas habis peperiksaan, saya perlu meluangkan masa bersama keluarga dikampung, tetapi terpaksa menghadiri program ini pulak. Saya tidak tahu untuk apa program ini dibuat dan apa kepentingannya pada saya".
Program yang pada asalnya dijadualkan berlangsung selama 6 hari ini telah berubah menjadi 5 hari bermula pada 14 nov sehingga 18 hb Nov 2009 dan tempat sebenar program ini dijalankan masih belum diberitahu. Pada asalnya, BTN dirancang untuk dijalankan di Melaka dan Johor, tetapi terpaksa dibatalkan atas beberapa faktor tertentu yang perlu diambil kira.
Mengikut maklumat yang diperolehi wartawan GMUKM, pelajar yang enggan menyertai program ini telah dimomokkkan dengan kegagalan untuk bergraduasi oleh pihak pentadbiran FPI.
Sehubungan itu, wartawan GMUKM sempat bertemu dengan beberapa mahasiswa yang pernah menjalani program BTN untuk melihat sejauhmana keberkesanan program ini dalam memupuk nilai patriotik terhadap negara.
"Apabila saya menghadiri program ini, kami banyak dimomokkan dengan parti politik. Kami telah didoktrin dengan politik luar yang kotor. Saya amat pelik bila mereka banyak mendedahkan berkaitan UMNO dan memberitahu kebaikan UMNO sedangkan terdapat AUKU yang menghalang mahasiswa terlibat secara langsung dengan politik. Kalau nak bercakap berkaitan semangat patriotisme, saya tidak pula dapat merasainya ". Ujar NorAisyah Yusof, pelajar FPI syariah tahun 3.
" Setiap daripada ceramah yang diadakan pasti ada menyelitkan berkaitan politik luar. Setiap masa kami diberitahu berkaitan UMNO,PAS dan PKR. Program ini juga tidak dapat memberi banyak kebaikan kepada saya tambahan lagi mereka sangat tidak menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam beberapa aktiviti yang dijalankan. Saya sangat malu kerana saya seorang pelajar agama tetapi disuruh untuk melakukan aktiviti yang tidak berfaedah" Respon yang diberikan oleh Fatimah Mat Saman, Usuluddin tahun 3 FPI.
Taklimat pemberitahuan mengenai BTN telah diadakan pada hari Khamis lepas (5 Nov 2009) dan disampaikan oleh Prof. Idris bin Zakaria iaitu Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPI. Taklimat ini juga dihadiri oleh pegawai program Biro Tata Negara untuk menjawab persoalan yang berlegar-legar dalam minda mahasiswa.
Sumber: GMUKM
No comments:
Post a Comment