Thursday, December 31, 2009

ISU YURAN : BERITA BAIK BUAT MAHASISWA UKM

Assalamualaikum,

Sebentar tadi saya mewakili Majlis Perwakilan Pelajar Gabungan Mahasiswa UKM dan rakan-rakan pimpinan Persatuan Mahasiswa Sains Politik bersama rakan-rakan mahasiswa Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan (FSSK) menemui Bendahari UKM untuk berbincang isu yuran mahasiswa UKM. Terkejut apabila ramai pegawai keselamatan "meraikan" kehadiran saya dan rakan-rakan. "Biasalah, kalau nak perjuangkan isu mahasiswa, ramai akan "menjaga" keselamatan kita," saya katakan kepada rakan-rakan saya tadi.

Saya (berbaju merah di tengah) bersama pimpinan dan rakan-rakan dari Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan yang turut memberi sokongan.

Kehadiran kami "disambut" hebat oleh berpuluh-puluh pegawai keselamatan yang menati dari pelbagai posisi. "Ada bawa garam? Takut kena gas nanti," Haris sempat bergurau sambil disambut tawa riang dari sahabat-sahabat lain. Mana tidaknya, hendak naik lif pun pegawai keselamatan iring. Itulah nasib saya dan rakan-rakan aktivis mahasiswa di UKM. Selalu diambil perhatian. Gambar diambil, video dirakam dan sebagainya. Yang pasti, kami bukan ingin membuat demontrasi di situ. Secara jujurnya, saya dan rakan-rakan gembira kerana kehadiran kami diraikan dan diberi perhatian. Terima kasih kepada mereka yang terlibat.

Pegawai keselamatan yang turut bersama di pejabat Jabatan Bendahari bersama kamera yang mungkin sudah muak mengambil gambar kami.

ALhamdulillah, saya bersama rakan saya saudara Taufik dan Hilman yang mewakili pimpinan Persatuan Mahasiswa Sains Politik dapat bertemu dan berbincang dengan Bendahari UKM. Antara yang dibincangkan tadi adalah isu sistem pakej baru dalam yuran pengajian dan isu mahasiswa yang berhutang tidak boleh membuat pendaftaran awal yang akan menyebabkan pinjaman PTPTN mereka ditahan untuk semester depan termasuklah akan didenda RM15.00. Perbincangan tadi telah menghasilkan beberapa keputusan positif kepada mahasiswa.

1 : Isu pakej baru yuran yang menyebabkan pelajar lama terpaksa membayar yuran lebih walaupun jumlah jam kredit yang diambil adalah sedikit.

Respon Bendahari : Bayaran yuran bagi pelajar lama kembali mengikut sistem lama iaitu mengikut bilangan jam kredit yang diambil. Sekiranya ada di kalangan mahasiswa yang telah membayar lebihan yuran kerana pakej baru, bayaran tersebut akan ditolak kembali pada semester hadapan. Bagi mahasiswa baru, pakej baru diteruskan kerana lebih menguntungkan berbanding sistem lama kerana jumlah jam kredit yang bertambah.

2 : Isu mahasiswa yang berhutang tidak boleh membuat pendaftaran awal yang akan menyebabkan pinjaman PTPTN mereka ditahan untuk semester depan termasuklah akan didenda RM15.00

Saya berpandangan, mereka yang tidak membuat pendaftaran awal bukan kesemuanya kerana kelalaian tetapi benar-benar menghadapi masalah kewangan (termasuk saya sebenarnya). Justeru, jika mereka tidak dibenarkan mendaftar dan ditahan pinjaman PTPTN saya rasa tidak sepatutnya.

Setelah berbincang, Bendahari bersetuju untuk menghantar surat kepada Bahagian Akademik yang membolehkan semua mahasiswa yang masih berhutang boleh membuat pendaftaran awal. Jadi, insyaAllah dalam masa terdekat semua mahasiswa yang masih berhutang boleh membuat pendaftaran awal kursus semester depan. Itu jaminan Bendahari.

Pesanan kepada rakan-rakan mahasiswa, untuk mendaftar kursus setelah peluang ini dibuka. Sekiranya masih berlaku permasalahan, mohon disampaikan kepada saya di zunnun_almisri03@yahoo.com atau rakan-rakan MPP Mahasiswa yang lain.

* Saya bersimpati kepada pegawai-pegawai keselamatan yang terpaksa mengikut dan memantau saya dan rakan-rakan aktivis. Bagi kami, tidak ada apa yang dirisaukan. Cuma kepada pihak-pihak bertanggungjawab, simpatilah kepada pegawai-pegawai keselamatan yang masih banyak kerja yang perlu dilakukan.

* Terima kasih kepada sahabat saya, Jumran yang mengingatkan saya isu ini tadi dan Sakinah yang tolong mencetak pekeliling daripada pihak akademik untuk dibawa bersama dalam perjumpaan tadi sebagai bahan bukti.

Sekian, terima kasih. Wassalam...

MOHD IDRIS BIN MOHD YUSSOFF,
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP),
Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails