Assalamualaikum wbt.
الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر
Syukur ke hadrat Allah kerana kita berjaya menempuh bulan Ramadan al-Mubarak dengan penuh ketaatan dan ketekunan. Tiadalah hadiah kejayaan yang terlebih besar dan istimewa dari kejayaan memperoleh status takwa.
Nilai ketakwaan inilah yang akan membawa kita untuk terus beristiqamah dalam menyongsong perjuangan yang serba mencabar ini sebagaimana ayat 103 di dalam surah Al-Baqarah;
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu, supaya kamu bertakwa."
Jelas diperingatkan bahawa orang yang bertaqwa adalah mereka yang senantiasa mentaati perintah Allah dan amat takut untuk melakukan kejahatan.
Justeru semoga ‘Madrasah Ramadhan 1432’ yang baru kita lalui ini akan menjadi ikhtibar untuk kita meneruskan amalan yang baik yang dilaksanakan sepanjang Ramadhan.
AIDILFITRI HARI KEMENANGAN
Aidil Fitri adalah hari kebesaran kurniaan Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.
Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah Taala. Orang yang bertakwa adalah mereka yang senantiasa mentaati perintah Allah dan amat takut untuk melakukan kejahatan.
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar." (Al-Ahzab: 71)
MERDEKA DARIPADA HAWA NAFSU
Pada kali ini, kita menyambut bakal menyambut Hari Merdeka dalam suasana yang sedikit berbeza kerana ia jatuh pada waktu yang hampir sama dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Justeru, ayuh kita sambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-54 ini dengan pendekatan yang sedikit berbeza dengan kita merenung kembali apakah signifikasi peristiwa hari ini kepada kita, dan bagaimana setiap daripada kita ingin memainkan peranan.
Juga dengan berkat Aidil Fitri kali ini, kita dapat mentautkan kembali tali silaturrahim bersama jiran tetangga dan sahabat handai. Saya yakin kesempatan yang ada ini akan digunakan juga oleh rakan-rakan dari berbilang bangsa untuk meneruskan tradisi kunjung-mengunjung antara satu sama lain sementelah kita dalam 'mood' hari Merdeka.
Dan pada kesempatan ini, marilah sama-sama kita membaharui semangat untuk meningkatkan lagi kerja dan amal kita dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT, menguatkan ukhuwah, persaudaraan di kalangan kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga mereka tidak ada beza di antara satu sama lain.
Dan tidak ketinggalan untuk saya ucapkan selamat pulang berhari raya di negeri tercinta ini kepada rakan-rakan yang berada di perantauan.
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (Surah Ali Imran: 102)
الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر
Lt. Muda Ahmad Muzzammil Muhd Hairi
Presiden
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM)
No comments:
Post a Comment